Denda RM1,000 menanti rakyat Kelantan buang sampah di tempat awam semasa berbuka

Ada segilintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata selepas berbuka puasa.
Ada segilintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata selepas berbuka puasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak teragak-agak mengenakan denda RM1,000 kepada rakyat negeri ini yang membuang sampah di tempat awam semasa berbuka puasa.

Ia berikutan sikap tidak bertanggungjawab tersebut dilihat semakin berleluasa sepanjang Ramadan ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas terbabit boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) Tahun 2020.

"Sangat mendukacitakan apabila ada segilintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah-sarap merata selepas berbuka puasa sehingga mencacatkan permandangan beberapa kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai berbuka puasa seperti di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh berhampiran Pasar Raya Lotus.

"Kita faham di bulan Ramadan ini sudah menjadi kebiasaan masyarakat untuk memilih berbuka puasa di luar rumah untuk mencari kelainan. Namun jangan menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk membuang bungkusan plastik dan sisa makanan di kawasan tersebut," katanya pada Isnin.

Kerajaan Kelantan tidak teragak-agak mengenakan denda RM1,000 kepada rakyat negeri ini yang membuang sampah di tempat awam semasa berbuka puasa apabila sikap tidak bertanggungjawab tersebut dilihat semakin teruk sepanjang Ramadan ini. Foto:MPKB
Kerajaan Kelantan tidak teragak-agak mengenakan denda RM1,000 kepada rakyat negeri ini yang membuang sampah di tempat awam semasa berbuka puasa apabila sikap tidak bertanggungjawab tersebut dilihat semakin teruk sepanjang Ramadan ini. Foto:MPKB

Menurut beliau, sekiranya perkara ini masih berterusan, pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak-agak untuk membuat operasi penguat kuasa samaada dengan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

Ujarnya, selain mengenakan denda, pihaknya juga akan memerintahkan tuan tanah atau pemegang konsesi menutup kawasan tersebut kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

Hilmi memberitahu, tindakan tegas tersebut perlu diambil kerana amaran telah berulang kali diberikan namun perkara ini masih lagi berlaku dan berulang.

"Sekiranya tong sampah sudah penuh mohon longgokkan di tepi tong untuk memudahkan syarikat konsesi bazar membuat pungutan atau bawa sahaja balik bungkusan serta sisa juadah masing-masing.

"Kami memohon orang ramai agar kekal menjaga kebersihan di tempat awam dan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!