'Tak pernah bersekolah kerana tiada sijil kelahiran, MyKad'

Sembilan sekeluarga dari Kampung Simpol Belubang, Machang merasakan seperti bermimpi apabila mereka kini telah memiliki sijil kelahiran dan MyKad yang disampaikan oleh Saifuddin Nasution.
Sembilan sekeluarga dari Kampung Simpol Belubang, Machang merasakan seperti bermimpi apabila mereka kini telah memiliki sijil kelahiran dan MyKad yang disampaikan oleh Saifuddin Nasution.
A
A
A

MACHANG - "Kami semua tidak boleh membaca dan menulis kerana tidak pernah bersekolah disebabkan tidak memiliki sijil kelahiran dan MyKad."

Demikian kata Norafidah Mohamad, 44, dari Kampung Simpol Belubang di sini apabila mereka sembilan sekeluarga menunggu lebih empat dekad untuk memiliki dokumen penting tersebut sebagai warganegara.

Ujarnya, dia serta empat adiknya yang berusia antara 32 hingga 41 tahun sudah berusaha namun nasib sentiasa tidak menyebelahi sehingga menyebabkan mereka menyisihkan diri daripada masyarakat.

Tambah dia lagi, empat anak saudaranya berusia antara tujuh hingga 18 tahun juga menghadapi masalah sama apabila ibu mereka yang merupakan adik bongsunya, Fauziah, 32, berkahwin dengan lelaki warga asing sehingga gagal membuat sijil kelahiran.

"Alhamdulillah rezeki Ramadan kali ini apabila kami dikejutkan dengan berita yang sudah lama ditunggu. Malah prosesnya tidak sampai sebulan sahaja apabila dimaklumkan kami sembilan sekeluarga bakal memiliki sijil kelahiran dan MyKad.

"Semua ini bermula apabila Fauziah dan anak-anaknya merantau ke Shah Alam pada awal Februari lalu," katanya.

Menceritakan kembali detik tersebut, Fauziah memberitahu semasa sedang menunggu rakannya datang mengambil dia dan anak-anak di sebuah stesen bas di Shah Alam, mereka didatangi seorang wanita berusia lingkungan 50-an.

Ujarnya, wanita terbabit bertanyakan tentang dia dan anak-anak sedang menunggu siapa, kerana mereka sudah berada terlalu lama di sana setelah rakan yang ditunggu tidak muncul.

Dia memberitahu, wanita berkenaan telah mempelawa ke rumahnya disebabkan mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju.

Artikel Berkaitan:

"Dari sini saya telah menceritakan kisah kami sekeluarga kepadanya. Kemudian dia telah membantu kami berjumpa dengan Abe Hae (Mohd Azhan Mohd Adnan) daripada NGO Pertubuhan Jejak Jalanan di Putrajaya. Anak perempuan saya, Suhana Wahida Abdullah, 18, juga ada menghantar mesej kepada Abe Hae melalui TikTok menceritakan masalah kami.

"Pada 7 Februari, Abe Hae telah meminta kami hadir ke program turun padang JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) di Chow Kit. Di sana kami telah berjumpa dengan kakitangan JPN dan memaklumkan masalah yang dihadapi.

"Alhamdulillah tidak sampai sebulan kami menerima panggilan memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan datang ke rumah menyerahkan sijil kelahiran dan MyKad," katanya.

Menurut Fauziah, sehingga sekarang mereka sekeluarga merasakan seperti bermimpi apabila akhirnya memiliki MyKad.

Ujarnya, perkara pertama yang ingin dilakukan ialah mendapatkan rawatan kesihatan di klinik kerajaan, menikmati bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi Madani RON95 (BUDI95) dan banyak lagi.

Ringkasan AI

  • Keluarga di Machang tidak boleh membaca dan menulis kerana tiada sijil kelahiran dan MyKad
  • Menunggu lebih empat dekad untuk memiliki dokumen penting tersebut sebagai warganegara
  • Empat anak saudaranya juga menghadapi masalah yang sama disebabkan perkahwinan ibu mereka dengan warga asing
  • Berita gembira diterima pada bulan Ramadan, proses mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad dilaksanakan
  • Bantuan dari NGO dan JPN membolehkan mereka akhirnya mendapatkan dokumen pengenalan diri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!