Iran huru-harakan Israel, sembilan terbunuh dalam serangan terbaharu

Pasukan penyelamat dan anggota tentera menjalankan operasi di lokasi beberapa individu terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran di Beit Shemesh. -Agensi
Pasukan penyelamat dan anggota tentera menjalankan operasi di lokasi beberapa individu terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran di Beit Shemesh. -Agensi
A
A
A

BEIT SHEMESH – Sekurang-kurangnya sembilan individu terbunuh manakala 27 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang menyasarkan bandar Beit Shemesh di barat Baitulmaqdis, menurut pihak perkhidmatan kecemasan Israel.

Serangan itu berlaku ketika Iran melancarkan gelombang serangan di seluruh Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran dan berterusan oleh Amerika Syarikat (AS) serta Israel ke atas republik Islam berkenaan.

Selain Israel, seorang dilaporkan maut di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala satu lagi kematian dilaporkan di Kuwait.

Puluhan individu lain turut cedera dalam siri serangan di beberapa negara rantau berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, ribuan penerbangan ke dan dari Asia Barat digantung, sekali gus mencetuskan antara gangguan perjalanan global paling serius sejak pandemik Covid-19.

Tentera Israel, Israel Defense Forces (IDF) menerusi hantaran di platform X mendakwa Iran secara langsung melancarkan peluru berpandu ke arah Beit Shemesh sehingga mengorbankan orang awam.

Menurut pegawai, sebuah rumah ibadat Yahudi (sinagog) yang dijadikan lokasi perlindungan ketika serangan udara turut terkena bedilan dan musnah sepenuhnya.

Puluhan anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

Timbunan konkrit pecah, besi berpintal serta kawah besar jelas kelihatan di lokasi impak, manakala kenderaan yang diparkir berhampiran musnah sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Polis memaklumkan 11 individu masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat diteruskan.

Serangan itu setakat ini merupakan yang paling dahsyat di Israel sejak konflik terkini tercetus.

Seorang paramedik daripada Magen David Adom, Dror Eini berkata, pihaknya menyaksikan rumah musnah, api dan asap menjulang dari bangunan kediaman, kenderaan rosak teruk serta suasana huru-hara di lokasi kejadian.

Serangan peluru berpandu berterusan sehingga malam Ahad. Kebanyakannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara Israel, namun satu daripadanya dilaporkan jatuh di sebatang jalan di kawasan Baitulmaqdis dan mencederakan sekurang-kurangnya tiga individu.

Negara Teluk turut jadi sasaran

Qatar, Bahrain, Jordan dan Kuwait – yang menempatkan pangkalan tentera AS – memaklumkan mereka berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah negara masing-masing.

Bagaimanapun, serpihan peluru berpandu dipercayai menyebabkan kerosakan meluas.

Di Bahrain, satu lagi serangan dron pada Ahad menyasarkan pangkalan Armada Kelima Tentera Laut AS dan mencetuskan kebakaran besar.

Dron itu dilaporkan mengenai kawasan berhampiran kemudahan tentera laut Britain yang bersebelahan pangkalan AS.

Setakat ini tiada laporan kematian, namun empat individu cedera akibat serangan Iran di negara itu.

Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah rumah musnah akibat letupan, dengan bumbungnya runtuh menjadi konkrit hancur dan besi yang terpelintir.-Agensi
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah rumah musnah akibat letupan, dengan bumbungnya runtuh menjadi konkrit hancur dan besi yang terpelintir.-Agensi

Kementerian Kesihatan Kuwait pula memaklumkan seorang maut dan 32 lagi cedera sejak Sabtu, kesemuanya warga asing.

Di Abu Dhabi, pihak berkuasa mengesahkan sebuah dron yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed berjaya dipintas, namun serpihan yang jatuh mengorbankan seorang individu dan mencederakan tujuh yang lain.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai – lapangan terbang paling sibuk di dunia dari segi jumlah penumpang – turut mengalami kerosakan dalam satu insiden yang mencederakan empat kakitangan, walaupun butiran lanjut tidak didedahkan.

Di Palm Jumeirah, hotel lima bintang Fairmont The Palm dilaporkan dilanda letupan besar pada Sabtu, dengan rakaman video menunjukkan kebakaran dan asap hitam tebal menjulang ke udara.

Pihak berkuasa juga mengesahkan serpihan dron yang dipintas menyebabkan kebakaran kecil pada bahagian luar hotel ikonik Burj Al Arab, manakala serpihan lain mencetuskan kebakaran di satu dermaga di Pelabuhan Jebel Ali – pelabuhan kesembilan paling sibuk di dunia.

IRGC dakwa sasar pangkalan tentera AS

Pada Sabtu, Pejabat Perhubungan Awam Kor Polis Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan ke atas ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS yang terletak di Manama, ibu negara Bahrain. Asap hitam tebal dilihat berkepul berhampiran kawasan pangkalan tersebut.

Sementara itu, agensi berita rasmi Oman melaporkan Pelabuhan Komersial Duqm disasarkan dua dron, menyebabkan seorang pekerja cedera.

Oman sebelum ini berperanan sebagai pengantara penting dalam rundingan AS-Iran dan setakat ini belum pernah menjadi sasaran langsung serangan Iran.

Dalam sidang media, pegawai Qatar memaklumkan Iran melancarkan 65 peluru berpandu dan 12 dron pada Sabtu. Kebanyakannya berjaya dipintas, namun lapan individu cedera akibat serpihan.

Negara-negara Teluk sebelum ini berusaha meredakan ketegangan dengan Iran dan memainkan peranan dalam usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian krisis. Mereka juga dilaporkan enggan membenarkan AS melancarkan serangan dari pangkalan tentera di negara masing-masing.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak menghalang serangan ketenteraan secara langsung ke atas wilayah mereka.

Dengan kematian pemimpin tertinggi Iran dalam serangan udara AS-Israel yang dilancarkan Sabtu lalu, masa depan bukan sahaja Iran malah seluruh rantau Asia Barat kini dilihat semakin tidak menentu.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!