Serangan dron berlaku di pangkalan tentera Britain di Cyprus

NICOSIA – Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) sedang bertindak balas berhubung serangan dron yang berlaku di sebuah pangkalan tentera Britain di pulau Mediterranean timur, Cyprus.
Jurucakap kementerian berkata, perlindungan pasukan di rantau itu berada pada tahap tertinggi dan pangkalan berkenaan telah bertindak untuk mempertahankan anggota tentera Britain.
Letupan berlaku di Pangkalan Udara Tentera Diraja Akrotiri pada tengah malam waktu tempatan dan setakat ini tiada kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan rasmi.
“Situasi ini masih berlangsung dan maklumat lanjut akan diberikan kemudian,” tambah jurucakap itu.
Jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis melalui platform X memaklumkan bahawa serangan itu melibatkan dron tanpa pemandu yang menyebabkan kerosakan terhad.
Kedua-dua pihak iaitu UK dan Cyprus tidak menyatakan pihak yang disyaki melancarkan serangan dron berkenaan.
Serangan ini berlaku selepas UK meningkatkan tahap keselamatan pangkalan tenteranya di Cyprus dengan sistem pertahanan tambahan termasuk radar, sistem anti-dron, pesawat F-35 dan pertahanan udara berasaskan darat, sebagai langkah menyokong keselamatan dan kestabilan di Asia Barat.
Sekiranya serangan terhadap kemudahan tentera Britain disahkan, ia berpotensi memberi implikasi besar kerana Artikel 5 NATO menyatakan bahawa serangan ke atas satu anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.
Bagaimanapun, UK perlu mengaktifkan Artikel 5 untuk mendapatkan sokongan negara NATO lain dalam tindak balas. – Agensi
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan UK bertindak balas terhadap serangan dron di pangkalan tentera Britain di Cyprus
- Tahap perlindungan pasukan di pangkalan tersebut berada pada tahap tertinggi
- Letupan berlaku di Pangkalan Udara Tentera Diraja Akrotiri tanpa kecederaan dilaporkan
- Serangan melibatkan dron tanpa pemandu yang menyebabkan kerosakan terhad
- Serangan ini meningkatkan keselamatan dengan sistem pertahanan termasuk radar dan sistem anti-dron
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

