Siaran TV Iran digodam, rakaman video Trump dan Netanyahu muncul mengejut

Siaran TV Iran digodam sebelum muncul rakaman pidato Trump dan Netanyahu. Foto: X.com
Siaran TV Iran digodam sebelum muncul rakaman pidato Trump dan Netanyahu. Foto: X.com
A
A
A

TEHRAN– Stesen televisyen negara Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) dilaporkan digodam pada Ahad waktu tempatan apabila siaran biasa mereka tiba-tiba digantikan dengan rakaman pidato dua pemimpin dunia.

Rakaman tersebut memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyampaikan ucapan secara langsung kepada rakyat Iran.

Menurut laporan Iran International, saluran satelit milik IRIB telah diceroboh sebelum menyiarkan klip ucapan kedua-dua pemimpin berkenaan selama beberapa minit.

Dalam rakaman yang kemudiannya tular di media sosial, Trump dan Netanyahu dilihat menggesa rakyat Iran supaya mengambil alih nasib sendiri serta bangkit menentang rejim yang memerintah di Tehran.

Sumber memaklumkan, penggodaman itu berlangsung kira-kira 10 minit ketika IRIB TV 3 sedang menyiarkan perlawanan bola sepak.

Siaran sukan tersebut secara tiba-tiba bertukar kepada rakaman pidato politik dengan sari kata bahasa Parsi.

Turut dipaparkan dalam siaran berkenaan ialah mesej teks yang menyeru rakyat Iran mengambil alih kawalan daripada kerajaan semasa.

Beberapa klip turut memaparkan rakaman serangan ketenteraan yang didakwa berkait dengan operasi bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap sasaran di Iran.

Insiden tersebut berlaku ketika ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin memuncak susulan beberapa siri serangan yang menyasarkan lokasi strategik di Iran, termasuk kawasan dikaitkan dengan pejabat Pemimpin Tertinggi negara itu.

Artikel Berkaitan:

Iran International menyifatkan penggodaman berkenaan sebagai satu penghinaan besar terhadap pihak berkuasa Iran.

Setakat ini, kerajaan negara itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Tiada pengesahan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan siber itu.

Ringkasan AI

  • Stesen televisyen negara Iran, IRIB digodam dengan siaran pidato Trump dan Netanyahu kepada rakyat Iran
  • Rakaman itu menggesa rakyat Iran untuk bangkit menentang rejim Tehran
  • Penggodaman berlangsung selama 10 minit semasa siaran perlawanan bola sepak
  • Siaran tersebut bertukar kepada rakaman pidato dengan sari kata bahasa Parsi dan teks yang menyeru rakyat Iran mengambil alih kawalan
  • Insiden itu berlaku dalam konteks ketegangan yang meningkat di Asia Barat, belum ada pengesahan pihak yang bertanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!