Lawat Israel tak kena waktu, Modi dikecam parti pembangkang India

NEW DELHI – Parti-parti pembangkang India mengkritik lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Israel minggu lalu, mendakwa ia memberikan sokongan bersyarat terhadap serangan udara yang kemudiannya dilancarkan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan krisis serantau.
Parti Kongres Kebangsaan India menyifatkan lawatan dua hari Modi ke Israel pada 28 Februari sebagai tidak kena pada waktunya, selain memberi persepsi penyelarasan berpihak dan ‘pengesahan senyap’ terhadap serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Jurucakap parti berkenaan, Jairam Ramesh, menyatakan pada 1 Mac bahawa tindak balas kerajaan Modi adalah ‘pengkhianatan terhadap nilai, prinsip, kebimbangan dan kepentingan India’, manakala pemimpin lain, Priyanka Gandhi, menyifatkan pembunuhan pemimpin Iran, Ali Khamenei, sebagai tidak bermoral.
Serangan ke atas Iran turut mendapat kecaman keras daripada parti pembangkang India lain pada hari yang sama.
Dengan kira-kira sembilan juta rakyat India bekerja di rantau Teluk dan negara itu sangat bergantung kepada import minyak, krisis yang memburuk di Iran menimbulkan ketidaktentuan baharu terhadap ekonomi negara.
India mengimport hampir lima juta tong minyak setiap hari, menjadikannya pengguna minyak ketiga terbesar di dunia.
Ahli ekonomi dan penganalisis meramalkan kenaikan harga tenaga yang dijangka menjejaskan defisit akaun semasa India serta menambah tekanan ke atas nilai rupee dan inflasi bahan api.
Serangan di Iran juga menjejaskan pelaburan India di Pelabuhan Chabahar yang membolehkan negara itu mengeksport barangan ke Afghanistan dan Asia Tengah tanpa melalui Pakistan.
Operasi di pelabuhan itu telah dikurangkan selepas AS mengenakan sekatan terhadap Iran.
Walaupun krisis ini menimbulkan ketidaktentuan ekonomi, pakar menegaskan hubungan strategik India dengan Iran tetap penting, termasuk kerjasama keselamatan dan perisikan yang telah dijalankan selama beberapa dekad. – Agensi
Ringkasan AI
- Parti-parti pembangkang India mengkritik lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Israel yang mendapat tanggapan sebagai sokongan terhadap serangan udara ke atas Iran
- Lawatan tersebut dikritik kerana dianggap tidak kena pada waktunya dan memberikan 'pengesahan senyap' terhadap aksi bersama Israel dan AS terhadap Iran
- Kecaman juga datang dari dalam negeri India, dengan tindak balas kerajaan Modi dilihat sebagai pengkhianatan terhadap prinsip dan kepentingan negara
- Krisis dengan Iran menimbulkan kebimbangan terhadap ekonomi India terutama dalam aspek import minyak dan kesan terhadap inflasi serta nilai mata wang
- Meskipun ada ketidaktentuan ekonomi, hubungan strategik antara India dengan Iran, termasuk kerjasama keselamatan dan perisikan, masih ditekankan sebagai penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


