Kukuh hubungan dengan pencipta

SHAH ALAM – Pemilihan surah al-Muzzammil sebagai tema World #QuranHour 2026 diharap dapat menyedarkan masyarakat bahawa kekuatan sebenar dalam mendepani cabaran dunia bermula dengan hubungan yang kukuh bersama pencipta.
Timbalan Presiden Able Perfect, Ahmad Farid Kamarudin berkata, pemilihan surah tersebut amat bertepatan dengan situasi semasa kerana ia menekankan kepentingan persiapan jiwa melalui ibadah malam sebelum menggalas tanggungjawab besar pada siang hari.
Ujar beliau, ia juga dilihat sebagai panduan dalam membina ketahanan rohani bagi menghadapi tekanan dan tuntutan kehidupan masa kini.
“Sokongan kami terhadap World #QuranHour adalah refleksi kepada prinsip ‘Halalan Thayyiban’. Dalam surah an-Nahl, susu disebut sebagai rezeki yang suci dan memberi manfaat kepada manusia.
“Able Dairies melihat nilai tadabbur ini selari dengan aspirasi kami untuk membina ummah yang bukan sahaja kuat jasmaninya menerusi nutrisi tenusu yang berkualiti, tetapi juga kental rohaninya menerusi panduan wahyu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Farid, peranan media dalam penganjuran program ini disifatkan sebagai jambatan penting yang menghubungkan mesej murni program kepada masyarakat global.
“Belajar daripada kejayaan tajaan goodies di World #QuranConvention 2025, kami melihat sokongan kepada rakan media sebagai pelaburan strategik.
“Dengan memastikan kebajikan dan sokongan kepada petugas media terjaga, kami berharap liputan program ini akan menjadi lebih meluas, sekali gus melipatgandakan impak dakwah dan kesedaran terhadap al-Quran,” ujarnya.
Mengulas keseimbangan antara perniagaan dan nilai rohani, Ahmad Farid menegaskan kesihatan organisasi bermula daripada kesejahteraan warga kerja.
Katanya, budaya kerja sebagai ibadah diterapkan dalam kalangan kakitangan, selain menyediakan kemudahan aktiviti kerohanian di kilang dan pejabat.
“Kami memastikan setiap pertumbuhan bisnes turut menyumbang kembali kepada sosial menerusi bekalan nutrisi kepada golongan memerlukan.
“Bagi kami, bisnes adalah wasilah (jalan) untuk mencari keredaan ALLAH, manakala kualiti produk adalah amanah yang perlu dijaga,” tambahnya.
Penganjuran kali ke-11 World #QuranHour pada tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada 11 Mac 2026 dengan tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’ berteraskan surah al-Muzzamil.
Kali ini terdapat sedikit kelainan apabila ia akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.
Antara rakan media yang terlibat adalah Astro Oasis, TV AlHijrah, Media Prima, TV9, Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, IKIM FM dan Astro Oasis selaku penyiar utama.
Selain itu, World #QuranHour tahun ini akan diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Ketua Perlembagaan UIAM.
Ringkasan AI
- World #QuranHour 2026 memilih surah al-Muzzammil sebagai tema untuk mengukuhkan hubungan dengan pencipta
- Surah al-Muzzammil dipilih kerana menekankan pentingnya persiapan rohani melalui ibadah malam
- Able Perfect menyokong program ini sebagai refleksi kepada prinsip 'Halalan Thayyiban', mengaitkan nutrisi tenusu dan ketahanan rohani
- Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej program kepada masyarakat global
- Penganjuran World #QuranHour kali ini akan diadakan di UIAM, Gombak pada 11 Mac 2026, dengan sedikit kelainan dimana akan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

