[VIDEO] Peniaga bot fiber operasi 24 jam tampung permintaan musim tengkujuh
KUALA NERUS - Sebuah premis jualan bot fiber di Kampung Tebauk di sini beroperasi 24 jam apabila permintaan terhadap pengangkutan itu meningkat sehingga 60 peratus sepanjang musim tengkujuh.
Pengusahanya, Masduki Mohd, 41, berkata, langkah itu diambil memandangkan kebanyakan penduduk kini lebih bersedia menghadapi banjir dengan melakukan persiapan awal termasuk membeli bot sebagai langkah keselamatan.
"Sebelum ini ada penduduk kurang bersedia, tetapi sekarang setiap kali hujan lebat, pelanggan mula datang tanpa mengira masa. Bermula Oktober kita buka kedai setiap masa.
"Kadang-kadang, kalau musim air naik, ada juga yang datang tengah malam untuk beli atau sewa bot kerana air sudah mula naik dan mereka terpaksa gunakan bot untuk selamatkan barangan di rumah," katanya ketika ditemui di premis tersebut pada Selasa.
Tambahnya, jika pada hari biasa mereka dapat menjual antara 20 hingga 30 buah bot sebulan, pada musim tengkujuh jumlah itu melonjak apabila banjir besar berlaku.

"Walaupun bengkel sepatutnya tutup pada hari Jumaat, kami tetap bersedia menerima panggilan kecemasan.
"Bagi kami, keselamatan keluarga dan harta benda pelanggan adalah keutamaan. Untuk waktu-waktu kecemasan macam tu saya pernah juga berikan dahulu bot dan bayaran kemudian sebab lebih utamakan untuk selamatkan barangan.
"Ada juga yang dapatkan bot semata-mata untuk selamatkan haiwan ternakan macam kambing dan sebagainya," ujar beliau.
Masduki berkata, sepanjang musim tengkujuh, stok bot yang diambil dari kilang di Kuantan, Pahang juga perlu ditambah untuk memenuhi permintaan pelanggan.
"Kebanyakan pelanggan bukan sahaja dari sekitar Terengganu tapi ada juga yang datang dari Rantau Panjang, Pasir Puteh dan Bachok di Kelantan.
"Kalau tengok pada sambutan tu, kita lihat kesedaran untuk persediaan awal bencana tu meningkat sebab selain Kelantan, ada juga yang sanggup datang dari Segamat dan Batu Pahat di Johor semata-mata untuk dapatkan bot di sini," katanya.
Menurutnya, perniagaan diwarisi daripada bapanya, Mohd Abu Bakar, 72, kini diusahakan bersama adiknya, Masrul Nizam, 26 sejak 2020.
Jelasnya, bapanya telah menghentikan pembuatan bot pada 2017 disebabkan tiada generasi penyambung sebelum diteruskan oleh dia dan adiknya.
"Sebelum ini, kita buat bot fiber di kilang sendiri di Teluk Pasu, Manir, tetapi kilang itu ditutup selepas dilanda banjir tiga tahun lalu.
"Sekarang, proses pembuatan dilakukan di kilang milik rakan ayah di Kuantan, Pahang," ujarnya.
Menurutnya, premis tersebut menyediakan bot bersaiz antara lapan hingga 17 kaki, namun ketika musim banjir, bot bawah 14 kaki paling laris dengan harga sekitar RM900 hingga RM3,500.
"Selepas musim banjir habis, biasanya permintaan tetap ada daripada pelanggan yang membeli bot untuk hobi memancing atau kegunaan harian.
"Jadi, perniagaan bot fiber ini masih juga mendapat sambutan walaupun di luar musim," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Jusoh Ahmad, 50, berkata, dia membuat keputusan membeli sebuah bot selepas rumahnya dinaiki air setiap kali musim banjir.
"Tiap-tiap tahun rumah saya dinaiki air. Kali ini, saya beli bot sebagai persediaan awal kerana saya ada membela kambing di sekitar kawasan rumah.
"Kalau ada bot macam ni senang sikit saya nak pindahkan haiwan ternakan ke kawasan lebih selamat," katanya.
Ringkasan AI
- Premis jualan bot fiber di Kampung Tebauk, Kuala Nerus beroperasi 24 jam kerana permintaan meningkat 60% semasa musim tengkujuh
- Pemilik, Masduki Mohd, 41, bertindak demikian kerana penduduk mula bersedia awal menghadapi banjir dengan memiliki bot
- Jika biasa menjual 20 hingga 30 bot sebulan, jumlah itu meningkat ketika musim banjir
- Sejak 2020, perniagaan ini diusahakan bersama adiknya, Masrul Nizam, setelah diwarisi daripada bapanya, Mohd Abu Bakar
- Bot yang dijual berukuran antara 8 hingga 17 kaki, dengan bot di bawah 14 kaki paling laris semasa musim banjir, berharga RM900 hingga RM3,500
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
