Iran tidak hasrat tingkat ketegangan tetapi akan pertahan kedaulatan, kata kedutaan

KUALA LUMPUR - Iran tidak berhasrat untuk meningkatkan ketegangan tetapi akan mempertahankan wilayah, negara dan kedaulatannya menggunakan semua cara yang sah selagi pencerobohan berterusan.
Kedutaan Iran di Malaysia menyatakan bahawa negara itu tidak mempunyai niat atau kemahuan untuk menyasarkan orang awam atau menyerang negara di rantau Timur Tengah.
"Semua operasi pertahanan telah dijalankan dengan pertimbangan asas untuk menyasarkan hanya kedudukan dan pangkalan rejim penceroboh Amerika Syarikat (AS) serta wilayah yang diduduki, dan mematuhi prinsip perbezaan serta perkadaran yang termaktub dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kedutaan itu menyatakan bahawa serangan ke atas Iran, "satu jenayah yang dilakukan secara terancang dan tanpa sebarang kewajaran undang-undang atau politik,” merupakan pencabulan jelas terhadap kedaulatan negara dan integriti wilayah Iran, serta prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
Ia menarik perhatian bahawa serangan pada Sabtu itu berlaku ketika Iran dan AS sedang berada di tengah-tengah proses diplomatik, yang menunjukkan keazaman negara itu untuk mencapai penyelesaian diplomatik dan menyeluruh berdasarkan keamanan serta kestabilan serantau dan antarabangsa.
"Rakyat Iran berasa bangga kerana mereka telah melakukan segala yang perlu untuk mengelakkan peperangan,” katanya, sambil menambah bahawa kini adalah masanya untuk mempertahankan negara dan menghadapi pencerobohan ketenteraan.
Kedutaan itu menyatakan bahawa antara sasaran yang terkena serangan AS dan Israel adalah sebilangan besar tapak awam, termasuk sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah perempuan di selatan Iran.
Katanya, menurut angka terkini, kira-kira 150 kanak-kanak terkorban, kira-kira 100 cedera, dan puluhan lagi terperangkap di bawah runtuhan, bersama-sama infrastruktur awam, perubatan dan pendidikan yang lain.
"Serangan sengaja terhadap pusat-pusat yang sifat awamnya boleh dikenali sepenuhnya ini adalah contoh jelas jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva dan dianggap sebagai penghinaan besar terhadap hati nurani kemanusiaan,” tambahnya. - Bernama
Ringkasan AI
- Iran tidak berhasrat meningkatkan ketegangan tetapi akan mempertahankan kedaulatannya
- Negara itu tidak mahu menyasarkan orang awam atau menyerang negara lain di Timur Tengah
- Operasi pertahanan Iran mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa
- Serangan ke atas Iran dicap sebagai pencabulan kedaulatan dan integriti wilayah oleh kedutaannya
- Serangan AS dan Israel menyasarkan tapak awam termasuk sekolah, mengakibatkan korban kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
