'Burukkan imej kerajaan?' - Indonesia siasat dakwaan kebakaran hutan didalangi pihak tertentu

JAKARTA – Kerajaan Indonesia sedang menyiasat dakwaan terdapat pihak tertentu sengaja mencetuskan kebakaran hutan dan tanah bagi memburukkan imej kerajaan.
Menteri Alam Sekitar merangkap Ketua Badan Pengendalian Alam Sekitar (KLH/BPLH), Jumhur Hidayat berkata, maklumat risikan mengenai kemungkinan sabotaj itu masih diteliti bagi memastikan kesahihannya.
“Kami menerima maklumat risikan mengenai dakwaan terdapat pihak tertentu sengaja melakukan pembakaran untuk merosakkan imej kerajaan.
“Jika perkara itu benar-benar berlaku, sudah tentu ia merupakan tindakan yang sangat serius,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Jumhur, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang mungkin terlibat.
Beliau menegaskan bahawa penentuan pihak bertanggungjawab perlu berdasarkan pemeriksaan dan bukti yang diperoleh di lapangan.
Dalam perkembangan sama, KLH/BPLH sedang menyiasat kebakaran di kawasan konsesi milik 335 syarikat bagi mengenal pasti punca kejadian di setiap lokasi.
“Semua kawasan terbakar perlu diperiksa satu persatu. Ada yang melibatkan dua hektar, lima hektar, malah beberapa kawasan mencecah ratusan hektar.
“Oleh itu, kami perlu memastikan keadaan sebenar dan punca kebakaran di setiap lokasi,” jelasnya.
Bagaimanapun, siasatan terhadap kawasan konsesi berkenaan tidak bermakna semua syarikat terbabit bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

