Mydin Mart Bagan Datuk dibuka, cawangan ke-75 seluruh negara

Ahmad Zahid (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang yang merupakan cawangan ke-75 syarikat itu di seluruh negara.
Ahmad Zahid (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang yang merupakan cawangan ke-75 syarikat itu di seluruh negara.
A
A
A

RANGKAIAN peruncitan tempatan, Mydin terus memperluaskan operasi apabila membuka Mydin Mart Bagan Datuk yang merupakan cawangan ke-75 syarikat itu di seluruh negara.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk di bawah pengurusan Tri Shaas Sdn Bhd itu melibatkan kos pelaburan sebanyak RM1 juta.

Menurutnya, pembukaan cawangan tersebut adalah sebahagian daripada perancangan strategik syarikat untuk memastikan pengguna, khususnya di kawasan luar bandar mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga mampu milik.

"Mydin sentiasa komited memastikan masyarakat menikmati kemudahan membeli-belah lengkap dengan harga borong.

"Pada masa sama, pembukaan ini membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta memberi ruang kepada usahawan dan pembekal tempatan berkembang bersama kami," katanya.

Cawangan baharu di Hutan Melintang, Perak itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Ahmad Zahid (tengah) meninjau jualan barangan di Mydin Mart Bagan Datuk.
Ahmad Zahid (tengah) meninjau jualan barangan di Mydin Mart Bagan Datuk.

Ameer Ali berkata, Bagan Datuk merupakan lokasi yang pesat membangun dengan potensi besar dan pihaknya merancang lebih banyak pembukaan Mydin Mart dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan komuniti di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kelebihan konsep harga borong turut boleh dimanfaatkan peniaga kecil kerana mereka boleh membeli secara pukal pada harga kompetitif, sekali gus mewujudkan jalinan kerjasama antara Mydin dan peruncit tempatan.

"Lebih penting, kami juga menerima pembayaran melalui MyKasih, sekali gus memudahkan penerima bantuan membeli barangan keperluan harian di sini," ujarnya.

Mydin Mart Bagan Datuk menawarkan kira-kira 6,000 unit stok simpanan (SKU) merangkumi produk segar, barangan runcit, pakaian, perkakasan rumah serta produk tempatan.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Mydin turut menyumbang Kotak SARA Rahmah kepada 50 penerima menerusi inisiatif Mydin Prihatin bagi meringankan beban perbelanjaan menjelang Ramadan.

Sementara itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Mydin atas kesediaan pembukaan cawangan itu yang disifatkan sebagai lokasi strategik di tengah laluan antara Teluk Intan, Bagan Datuk dan Sabak Bernam.

Beliau berkata, pembukaan pasar raya tersebut bukanlah pesaing kepada kedai runcit tempatan, sebaliknya saling melengkapi memandangkan peruncit juga boleh mendapatkan bekalan pada harga borong.

"Peruncit tidak perlu rasa terancam. Mereka boleh membeli pada harga borongan dan ini memberi manfaat kepada semua pihak. Kita berkongsi rezeki," katanya.

Menurutnya, keprihatinan rakyat terhadap kos sara hidup perlu diberi perhatian walaupun realitinya tiada negara yang menyaksikan penurunan harga barang secara mendadak selepas kenaikan.

“Namun dengan adanya rangkaian seperti Mydin dan pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang boleh digunakan di sini, ia membantu meringankan beban rakyat,” ujarnya.

Promosi istimewa ditawarkan termasuk ayam seekor pada harga RM1 sempena pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk.
Promosi istimewa ditawarkan termasuk ayam seekor pada harga RM1 sempena pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk.

Sempena pembukaan rasmi itu, pelbagai promosi istimewa ditawarkan termasuk ayam seekor pada harga RM1 (terhad 100 ekor sehari), mi kuning 10 sen setiap hari dan ubi kentang 99 sen sekilogram (terhad dua kilogram setiap pelanggan).

Promosi diteruskan dari 6 hingga 8 Mac dengan tawaran seperti rusuk ayam RM5.99 sekilogram, ikan sardin RM7.99 sekilogram, epal Fuji 90 sen sebiji serta beras lima kilogram pada harga RM28.99 selain diskaun barangan keperluan harian terpilih.

Ringkasan AI

  • Mydin membuka Mydin Mart Bagan Datuk, cawangan ke-75 di seluruh negara
  • Pembukaan ini melibatkan kos pelaburan sebanyak RM1 juta
  • Cawangan baharu bertujuan memastikan pengguna di kawasan luar bandar mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga mampu milik
  • Mydin Mart Bagan Datuk menawarkan kira-kira 6,000 unit stok simpanan merangkumi pelbagai produk
  • Sebagai tanggungjawab sosial korporat, Mydin menyumbangkan Kotak SARA Rahmah kepada 50 penerima menjelang Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!