Isteri Allahyarham Daim nafi terlibat dakwaan jatuhkan kerajaan

SHAH ALAM – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid tampil menafikan terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu menegaskan, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan langsung tidak masuk akal.
Beliau berkata, cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
"Dakwaan bahawa saya cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan adalah sesuatu yang melucukan dan mengingatkan kepada tuduhan-tuduhan lampau mengenai usaha menjatuhkan kerajaan yang dihadapi oleh Perdana Menteri sendiri, ketika beliau pernah mengisytiharkan memiliki 'angka yang kukuh' untuk merampas kuasa.
"Tidak pernah sekali pun saya terlibat dalam mempertimbangkan, atau menyokong sebarang usaha untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Beliau berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
Dalam pada itu Na’imah menegaskan, beliau tidak pernah terlibat, apatah lagi mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat.
Dalam masa sama, beliau enggan mengambil kredit terhadap pendedahan laporan media berkenaan, sebaliknya menegaskan ia adalah hasil kerja kewartawanan pihak lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Ringkasan AI
- Na'imah menafikan terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan
- Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan melucukan
- Beliau menegaskan tidak pernah terlibat atau menyokong apa-apa usaha menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih
- Tuduhan mengaitkan dirinya dengan laporan media Bloomberg dan SPRM dipandang sebagai tidak bertanggungjawab
- Na'imah tidak mengambil kredit pendedahan laporan media, menegaskan ia hasil kerja kewartawanan pihak lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

