Rakyat Malaysia nikmati perayauan data lancar, kadar berpatutan di Timor-Leste

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão ketika tiba di Malaysia pada Jumaat menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão ketika tiba di Malaysia pada Jumaat menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia kini dapat menikmati pengalaman perayauan data atau data roaming yang lancar pada kadar berpatutan di Timor-Leste selepas pengendali rangkaian mudah alih utama negara berjaya mengaktifkan perkhidmatan itu bulan ini.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi hari ini, mulai 17 Oktober lepas, CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di negara berkenaan manakala YTL Communications memulakan perkhidmatannya pada 24 Okt.

"Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste dapat menikmati perayauan data yang lancar pada kadar berpatutan, sama seperti negara-negara anggota ASEAN yang lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Komunikasi, perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste itu satu pencapaian besar berbanding rangkaian infrastruktur 2G dan 3G sebelum ini.

Perkembangan itu direalisasikan hasil kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste serta sokongan perkongsian perayauan strategik antara pengendali rangkaian mudah alih Malaysia dan penyedia telekomunikasi utama Timor-Leste, iaitu Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.

Pencapaian itu sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang tertumpu kepada aspek keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital, selain mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam memupuk komuniti berfokuskan rakyat, iaitu teknologi meningkatkan mobiliti, peluang dan perpaduan di seluruh rantau.

"Malaysia mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang merupakan detik bersejarah dalam mengukuhkan perpaduan ASEAN dan visi bersama ke arah rantau lebih inklusif dan terhubung secara digital,” menurut kenyataan itu.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong sepenuhnya inisiatif untuk mengukuhkan integrasi serantau dan mempromosikan keterhubungan merentas sempadan selaras dengan tema membentuk masa depan digital bersama kepada semua rakyat ASEAN. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Rakyat Malaysia kini dapat menikmati pengalaman perayauan data yang lancar pada kadar berpatutan di Timor-Leste
  • CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile, dan YTL Communications telah mengaktifkan perkhidmatan perayauan data di Timor-Leste bermula 17 dan 24 Oktober
  • Inisiatif ini memastikan pengalaman berperayau data di Timor-Leste sama berpatutan seperti di negara-negara anggota ASEAN lain
  • Perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste merupakan pencapaian besar dibandingkan dengan rangkaian 2G dan 3G sebelumnya
  • Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama antara MCMC Malaysia dan ANC Timor-Leste serta sokongan dari Telkomsel, Telemor, dan Timor Telecom

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!