Pelajar serah wang tunai, barang kemas ibu bapa lebih RM30,000 kepada scammer

Siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 7 Oktober lalu. Gambar hiasan
Siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 7 Oktober lalu. Gambar hiasan
A
A
A

BENTONG – Seorang penuntut universiti mengalami kerugian RM32,115 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dalam kejadian di Karak di sini.

Mangsa berusia 18 tahun dikatakan menyerahkan wang tunai RM6,115 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM26,000 milik ibu bapanya kepada seorang wanita selepas diugut akan ditangkap atas dakwaan terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintenden Azmi Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 7 Oktober lalu.

“Individu itu mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan mengugut akan menangkapnya sekiranya tidak mematuhi arahan diberikan.

“Akibat takut dengan ugutan berkenaan, mangsa diperdaya mengambil wang tunai dan barang kemas milik ibu bapanya sebelum menyerahkannya kepada seorang wanita yang memakai pelitup muka berhampiran sebuah pasar raya di Karak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa turut diarahkan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ahli keluarga dan pihak lain.

Susulan laporan diterima, Azmi memberitahu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Bentong menahan seorang wanita berusia 21 tahun berhampiran pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.20 petang pada Sabtu.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek dipercayai ditawarkan pekerjaan oleh sindiket penipuan dengan mendakwa dirinya dilantik sebagai anggota ‘Unit Tindak Khas Polis.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, suspek dipercayai diarahkan mengambil wang tunai dan barang kemas daripada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak ketiga yang diatur sindiket berkenaan.

"Dakwaan pelantikan itu dipercayai modus operandi sindiket bagi memperdaya suspek supaya menganggap tugasan diberikan sebagai urusan rasmi polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar suspek serta mengesan individu lain yang disyaki terbabit, " katanya.

Azmi menegaskan polis tidak pernah mengarahkan mana-mana individu menyerahkan wang tunai atau barang kemas bagi menyelesaikan sesuatu kes melalui panggilan telefon.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan ugutan tangkapan atau tawaran pekerjaan yang menggunakan nama dan identiti pasukan polis.

“Sekiranya menerima panggilan seumpama itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan terus dengan balai polis berhampiran serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!