14 aset Jamal Yunos disita ketika masuk secara paksa - Peguam Teresa Kok

Datuk Seri Jamal Md Yunos
Datuk Seri Jamal Md Yunos
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 aset Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos disita dari rumah di Ampang Jaya di sini selepas bailif Mahkamah Tinggi di sini diberi kuasa untuk memasuki premis itu secara paksa pada Rabu.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Ia berhubung tindakan penguatkuasaan penyitaan harta bagi mendapatkan baki tertunggak kos guaman mencecah RM66,061.85 berkaitan kes saman fitnah Jamal, 56, yang mendakwa Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada sembilan tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan media, peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa, 62, berkata, barang-barang yang disita itu akan dilelong pada tarikh yang belum ditetapkan.

Ditanya mengenai jenis aset tersebut, beliau berkata, item yang disita merupakan barang-barang rumah.

Sankara berkata, seorang penolong pendaftar Mahkamah Tinggi dan bailif tiba di rumah Jamal untuk melaksanakan writ rampasan dan penjualan bersama pegawai polis dan seorang lagi peguam Teresa.

Katanya, pegawai mahkamah itu kemudiannya mengarahkan kemasukan paksa dilaksanakan, selepas penghuni rumah tidak memberi respons terhadap panggilan mereka ketika menekan loceng kediaman.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.

Sankara memberitahu, Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.

Teresa memfailkan saman itu pada 6 April 2017, mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yawas semasa sidang media pada 8 Mac tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.

Teresa menyatakan, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika.

 

Ringkasan AI

  • Aset Datuk Seri Jamal Md Yunos disita untuk memenuhi baki tertunggak kos guaman RM66,061.85
  • Penyitaan berkaitan kes saman fitnah yang diajukan oleh Teresa Kok terhadap Jamal
  • Barang-barang yang disita merupakan barang-barang rumah akan dilelong
  • Writ penyitaan dilakukan dengan bantuan pegawai mahkamah dan polis setelah penghuni rumah tidak merespons
  • Jamal telah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa Kok atas keputusan Mahkamah Tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!