Institusi beraja kekal tonggak kestabilan - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin. Foto Bernama
Sultan Sharafuddin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun masyarakat terus berubah seiring dengan peredaran zaman, peranan asas Raja Berperlembagaan kekal utuh dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, institusi beraja memikul tanggungjawab menjunjung Perlembagaan, memastikan kesinambungan institusi serta menjadi lambang perpaduan yang merentasi perbezaan politik.

"Institusi beraja memberikan kestabilan ketika berdepan perubahan dan mengingatkan kita bahawa institusi yang bertahan sepanjang zaman terus memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian negara,” titah baginda dalam wawancara khas bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Perlembagaan memberikan panduan jelas mengenai tanggungjawab baginda sebagai Raja.

"Tanggungjawab beta adalah untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Selangor tanpa pilih kasih atau prasangka,” titah baginda.

Baginda bertitah, penghormatan terhadap prinsip Perlembagaan, sikap tidak memihak serta keadilan membolehkan institusi beraja terus mendapat keyakinan rakyat tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik.

Menurut baginda, institusi beraja melambangkan kesinambungan, kestabilan, khidmat dan tanggungjawab.

"Ia mengingatkan kita bahawa kepimpinan menuntut tanggungjawab, bukannya keistimewaan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, nilai berkenaan kekal relevan kerana kesederhanaan, perpaduan serta penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang penting dalam membina masyarakat yang harmoni. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!