Lima beranak maut kebakaran: Bekas pelajar MRSM antara terkorban

SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga termasuk seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang pada Khamis.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan insiden di Raub itu sebagai dahsyat apabila mengorbankan keluarga Allahyarhamah Ruby Adira Batrisya Mohd Awi yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, tragedi berkenaan amat menyentuh hati apabila dua lagi ahli keluarga terbabit kini menjadi yatim piatu sekelip mata.
“Kakaknya terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi, manakala adiknya tidak berada di rumah kerana menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong berhampiran.
“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamus.
Tambah beliau, Mara akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar tersebut.
Terdahulu, kejadian sekitar jam 3.44 pagi itu melibatkan kebakaran sebuah rumah yang akhirnya meragut nyawa kedua-dua ibu bapa dan dua adik pelajar terbabit.
Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut membabitkan tiga buah kereta dan tiga motosikal yang hangus terbakar dalam kejadian tragis itu.
Kesemua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Majlis Amanah Rakyat (Mara) berasa dukacita atas kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga termasuk bekas pelajar MRSM Bentong
- Tragedi di Raub meninggalkan dua ahli keluarga menjadi yatim piatu
- Kakaknya selamat kerana sedang belajar di matrikulasi, adiknya tidak di rumah kerana menetap di asrama
- Mara akan menghulurkan bantuan dan memastikan kebajikan keluarga yang ditinggalkan terjamin
- Kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan rumah serta menghanguskan tiga kereta dan tiga motosikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
