Perhimpunan Hari Al Quds di ibu negara 13 Mac depan

Mohd Azmi (tiga dari kanan) memaklumkan perhimpunan itu dianjurkan bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil serta parti politik.
Mohd Azmi (tiga dari kanan) memaklumkan perhimpunan itu dianjurkan bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil serta parti politik.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu perhimpunan besar solidariti bersama Palestin dan mempertahankan keamanan dunia akan diadakan pada13 Mac sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum diteruskan dengan perarakan aman ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Penyelaras Perhimpunan Hari Al Quds Malaysia 2026, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan itu dianjurkan bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil serta parti politik sebagai pendirian kemanusiaan menentang kezaliman, penjajahan dan peningkatan ketegangan perang di Asia Barat.

Beliau berkata, pihak penganjur mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta bagi menyampaikan mesej bahawa rakyat Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, khususnya mangsa kekejaman berterusan di Gaza serta mempertahankan kesucian Masjid Al Aqsa dan Al Quds.

Menurutnya, perhimpunan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan dan ancaman ketenteraan terhadap Iran yang berisiko mencetuskan konflik serantau lebih luas dengan implikasi global berbahaya.

"Peperangan hanya membawa penderitaan kepada orang awam yang tidak bersalah serta menggugat kestabilan keamanan dunia," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Peserta akan berarak secara aman dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorandum.

Memorandum tersebut menggesa kuasa dunia menghentikan sokongan terhadap dasar agresif dan peperangan, mematuhi undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia, menghentikan peningkatan ketenteraan, memastikan pertanggungjawaban terhadap jenayah di Gaza dan melindungi kesucian Masjid Al Aqsa.

Beliau menegaskan, perhimpunan itu akan dilaksanakan secara aman, berdisiplin dan mematuhi undang-undang negara.

"Semua rakyat Malaysia yang memperjuangkan keadilan, kemanusiaan dan keamanan termasuk belia, pemimpin masyarakat, pertubuhan pekerja dan aktivis kemanusiaan dijemput menyertai mobilisasi berkenaan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perhimpunan besar solidariti bersama Palestin akan diadakan pada 13 Mac di Masjid Tabung Haji dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat
  • Diatur bersama oleh NGO, organisasi masyarakat sivil, dan parti politik menentang kezaliman dan penjajahan
  • Menargetkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta untuk menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan mempertahankan Masjid Al Aqsa
  • Perhimpunan bakal menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan dan ancaman ketenteraan, terutama terhadap Iran
  • Peserta akan menyerahkan memorandum yang menggesa penghentian sokongan terhadap dasar agresif dan memastikan pertanggungjawaban jenayah di Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!