Nilai pampasan tak dipersetujui, 33 pemilik apartmen lewat siap bawa tuntutan ke tribunal

Barbrah (kiri) dan Ceneddie (dua dari kiri) bersama wakil rasmi mereka, M Karthigeyan (dua dari kanan) selepas hadir ke tribunal di Kota Kinabalu.
Barbrah (kiri) dan Ceneddie (dua dari kiri) bersama wakil rasmi mereka, M Karthigeyan (dua dari kanan) selepas hadir ke tribunal di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sekumpulan pemilik sebuah apartment di Manggatal membuat tuntutan di tribunal terhadap pemaju perumahan selepas mendakwa gagal mencapai kata sepakat berhubung bayaran pampasan akibat kelewatan penyiapan unit rumah masing-masing.

Menurut salah seorang pemilik, Barbrah Wong, 39, mereka sepatutnya menerima unit sekitar tiga tahun selepas perjanjian dibuat pada 2019, tetapi penyiapan rumah ditangguhkan beberapa tahun, termasuk tempoh lanjutan akibat pandemik COVID-19.

"Pemaju sepatutnya membayar pampasan berdasarkan perjanjian. Selepas pengiraan termasuk pengecualian tempoh COVID-19, saya sepatutnya menerima sekitar RM26,250, tapi mereka cuma tawarkan RM16,000 sahaja.

"Begitu juga pemilik lain dan bila kami minta penjelasan, mereka kata cara kiraan adalah muktamad dan tidak akan didedahkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Barbrah menambah, masalah komunikasi dengan pihak pemaju turut menimbulkan tekanan kepada pemilik apabila ramai gagal menghubungi pemaju melalui telefon, email atau kunjungan ke pejabat mereka di Kuala Lumpur.

"Kelewatan ini turut menjejaskan pemilik untuk menduduki unit mereka sepenuhnya, memandangkan ada unit masih memerlukan baik pulih selepas serahan kunci pada tahun lalu," katanya.

Seorang lagi pemilik, Ceneddie, 43, berkata, kelewatan penyiapan rumah menyebabkan beliau terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan, termasuk menyambung kontrak sewa rumah yang didiaminya kini.

"Dalam masa sama, kami sudah mula membayar pinjaman perumahan, dan selepas menerima kunci pada Jun tahun lalu, saya terpaksa membuat pembayaran penuh setiap bulan.

"Sedangkan tuntutan pampasan kami belum diterima, kami masih perlu menanggung kos lain termasuk sewa rumah, sementara rumah yang dibeli pula belum boleh diduduki kerana isu kecacatan. Kini saya terpaksa menanggung pembayaran dua rumah serentak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil rasmi dilantik pemilik, M Karthigeyen dari MK Consultancy & Management Sdn Bhd berkata, beliau mewakili 33 pemilik perumahan PR1MA Menggatal bagi membantu mereka menuntut pampasan akibat kelewatan penyiapan rumah.

Beliau menjelaskan, walaupun pemaju menetapkan prosedur tertentu, pemilik menghadapi kesukaran untuk berurusan secara langsung dengan pihak tersebut.

"Sebagai wakil pemilik, saya turun naik ke Sabah untuk memastikan tuntutan mereka dapat didaftarkan di tribunal. Masalahnya, pihak pemaju kurang bekerjasama dan prosedur tribunal juga masih belum lengkap kerana tiada presiden. 

"Bagaimanapun, kami tetap berusaha mewakili 34 pemilik supaya hak mereka dipertahankan, dan harapannya tribunal dapat membantu menyelesaikan isu ini dengan adil," katanya.

Ringkasan AI

  • Pemilik apartment di Manggatal tuntut pampasan dari pemaju kerana kelewatan penyiapan unit rumah
  • Penyiapan rumah yang sepatutnya dalam tiga tahun, ditangguhkan beberapa tahun termasuk kerana pandemik COVID-19
  • Pemaju hanya tawarkan pampasan RM16,000 berbanding RM26,250 yang sepatutnya diterima oleh pemilik
  • Masalah komunikasi dengan pemaju menimbulkan tekanan kepada pemilik, ramai gagal menghubungi melalui telefon, email atau kunjungan
  • Wakil rasmi dilantik untuk membantu 33 pemilik perumahan PR1MA Menggatal menuntut pampasan akibat kelewatan penyiapan rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!