Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Azizah Ariffin perlu RM200,000 naik taraf fasiliti

Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Azizah Ariffin yang menempatkan pelajar dan perlu kos selenggara fasiliti.
Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Azizah Ariffin yang menempatkan pelajar dan perlu kos selenggara fasiliti.
A
A
A

KOTA BHARU – Usaha menaik taraf fasiliti pembelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Azizah Ariffin di Tapang di sini,giat dilaksanakan bagi memastikan persekitaran lebih kondusif buat 42 pelajar yang mengikuti pengajian tahfiz sepenuh masa.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Azizah Ariffin, Muhammad Sharkawi Zawawi berkata, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf fasiliti amat diperlukan berikutan beberapa kerosakan yang berlaku akibat faktor cuaca dan penggunaan berterusan.

“Antara keperluan utama ialah pembaikan sistem perpaipan yang melibatkan tujuh unit bilik mandi, pembaikan dinding dan atap yang retak serta bocor, selain pemasangan sistem penapisan air.

“Kami juga merancang pemasangan alat keselamatan seperti pengesan asap dan sistem penyiram air bagi menjamin keselamatan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Sharkawi memberitahu, maahad berkeluasan kira-kira 6,000 kaki persegi itu beroperasi sebagai institusi tahfiz moden yang menggunakan sistem wakaf orang ramai tanpa pemilikan individu, sekali gus menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan pendidikan al-Quran dan sahsiah pelajar.

Menurut beliau, pihak pengurusan turut merancang pembinaan tiga unit stor tambahan, pemasangan penutup longkang serta penutup lurang besi di sekeliling kawasan maahad, selain kerja-kerja mengecat semula keseluruhan bangunan.

“Bagi menyokong sistem pendidikan yang lebih efektif, kami memerlukan beberapa peralatan tambahan termasuk dua unit televisyen, dua pencetak, dua projektor serta pembinaan empat unit gazebo sebagai ruang pembelajaran santai dan aktiviti pelajar,” jelasnya.

Muhammad Sharkawi berkata, keseluruhan kos yang diperlukan bagi kerja-kerja penambahbaikan tersebut dianggarkan sekitar RM200,000.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 553104617718 (MTS Azizah Ariffin Centre) atau menghubungi Muhammad Sharkawi di talian 013-768 2661 untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan penambahbaikan itu penting bagi memastikan proses hafazan dan pembelajaran al-Quran dapat dijalankan dalam suasana yang selesa, selamat dan tersusun.

“Kami mahu menyediakan persekitaran terbaik buat para huffaz agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hafazan dan pengajian, seterusnya memartabatkan al-Quran dalam masyarakat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Usaha menaik taraf fasiliti pembelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Azizah Ariffin untuk persekitaran lebih kondusif bagi 42 pelajar
  • Kerja-kerja baik pulih melibatkan sistem perpaipan, pembaikan dinding dan atap, serta pemasangan sistem penapisan air dan alat keselamatan seperti pengesan asap
  • Institusi beroperasi sebagai tahfiz moden dengan sistem wakaf dan menumpukan kepada pembangunan pendidikan al-Quran dan sahsiah pelajar
  • Perancangan pembinaan tiga unit stor, pemasangan penutup longkang dan kerja-kerja mengecat, memerlukan peralatan tambahan untuk pendidikan efektif
  • Keseluruhan kos penambahbaikan dianggarkan sekitar RM200,000, dengan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank atau menghubungi Muhammad Sharkawi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!