Polis buru pemandu pandu melulu langgar palang di Kompleks Sultan Abu Bakar

Pemandu kereta bertindak memandu secara melulu sebelum melarikan diri di Kompleks Sultan Abu Bakar. Foto tular
Pemandu kereta bertindak memandu secara melulu sebelum melarikan diri di Kompleks Sultan Abu Bakar. Foto tular
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Polis kini giat mengesan pemandu sebuah kenderaan yang memandu secara melulu sebelum melarikan diri di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.40 petang daripada polis bantuan kompleks berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit yang bernombor pendaftaran negara ini telah memasuki laluan kenderaan berat di pintu ‘Gate C’ bagi laluan masuk dari Malaysia ke Singapura.

“Petugas telah mengarahkan pemandu supaya membuat pusingan U ke laluan kenderaan ringan, namun arahan itu tidak dipatuhi.

“Sebaliknya, suspek bertindak memecut laju sehingga melanggar palang milik pos pemeriksaan Jabatan Imigresen serta empat kon keselamatan yang berada di laluan berkenaan sebelum menuju ke arah pintu keluar ke Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

"Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta bertanggungjawab menjaga keselamatan dan harta awam, khususnya di kawasan pemeriksaan sempadan negara," ujarnya lagi.

Terdahulu, satu video tular berdurasi 33 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook 'Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC)' memaparkan sebuah kereta Saga dipandu secara berbahaya di kawasan pemeriksaan sempadan negara Malaysia-Singapura.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis sedang mencari pemandu yang melulu sebelum melarikan diri di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang
  • Kejadian berlaku pada petang Ahad dan laporan diterima sekitar jam 2.40 petang
  • Kereta memasuki laluan kenderaan berat dan melanggar palang serta kon keselamatan sebelum menuju ke Singapura
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Orang ramai diminta untuk memberi maklumat dan mematuhi undang-undang di kawasan pemeriksaan sempadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!