Diplomasi lembut pecah kekakuan protokol

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, bergambar bersama para pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN - New Zealand bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, bergambar bersama para pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN - New Zealand bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telahpun melabuhkan tirainya pada Selasa lalu.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah menganjurkan acara yang menghimpunkan kesemua pemimpin ASEAN, sembilan rakan dialog dan empat tetamu pengerusi dengan cemerlang.

Sebanyak 14 sidang kemuncak diadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung, begitu juga 80 dokumen hasil diterima serta diluluskan termasuk kenyataan bersama pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun, India, New Zealand, Australia, Brazil dan Afrika Selatan.

Menyentuh tentang penganjuran sidang kemuncak ASEAN kali ini, penulis diberi kepercayaan sekali lagi untuk membuat liputan berita dan merakam momen corat-coret pada hari pertama, bermula dengan ketibaan pemimpin sehinggalah selesai acara tersebut.

Sebelum ini, penulis berkesempatan membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dipengerusikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Julai lalu.

Tidak terlalu banyak perbezaan ketara cuma kali ini fokusnya terarah kepada penglibatan dan perkongsian pandangan kesemua pemimpin utama negara anggota ASEAN termasuk kunjungan sulung Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia serta rantau Asia.

Sudah semestinya masyarakat yang 'menyampah' dengan pemimpin AS itu, tetapi tertanya-tanya juga apakah ‘first impression’ Trump sebaik menjejakkan kaki ke Malaysia.

Mana tidaknya, berita mengenai kehadiran Trump ke negara ini sudah ditentang rakyat sejak beberapa bulan sebelum penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Bimbang juga jika ada perkara yang tidak menyenangkan hatinya, habislah dikenakan macam-macam sekatan terutamanya peningkatan tarif lebih tinggi ke atas Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sangkaan buruk orang ramai termasuk penulis meleset apabila Trump sendiri melalui catatan Truth Social miliknya memuji Malaysia sebagai negara yang hebat dan sangat bertenaga.

Lihat sahaja sewaktu beliau keluar daripada Air Force One, disambut mesra pula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat menyaksikan sendiri beliau secara spontan menari dengan gaya ikoniknya bersama Anwar dan barisan penari tradisional tempatan.

Mesejnya mudah, Trump mulai menunjukkan keselesaannya tanpa terlalu terikat pada protokol rasmi.

Hal-hal sebegini lazimnya dianggap kecil, tetapi cukup memberi makna jelas bahawa ada perkhabaran positif bakal diumumkan menerusi pertemuan dua hala itu.

Buktinya, Trump dan Anwar menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas serta Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Mineral Penting antara Malaysia dan AS.

Bukan itu sahaja, Trump turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, satu momen yang amat bersejarah tercipta di bumi Malaysia.

Justeru, joget bukan sembarangan joget, ia membawa makna diplomasi lembut di sebalik kekakuan protokol rasmi, lebih-lebih lagi di pentas besar seperti persidangan ASEAN.

Pujian wajar diberikan kepada Anwar kerana berjaya mencairkan suasana formal menerusi diplomasinya meskipun tidak menang tangan melayani delegasi kenamaan, bahkan bergegas ke sana-sini menyantuni tetamu.

Seorang lagi pemimpin yang menggunakan kaedah diplomasi lembut ialah Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao dek gelagat comelnya menghulurkan gula-gula kepada pengamal media termasuk penulis.

Wajahnya yang tidak lokek senyuman dan sentiasa bertanyakan khabar pemberita membuatkan majoriti wartawan mulai jatuh hati dengan keperibadian beliau dan rakyat Timor-Leste itu sendiri.

Ditambah pula dengan kemasukan Timor-Leste secara rasmi sebagai anggota ASEAN ke-11, maka tidak mustahil lebih ramai pelancong mulai menyedari keunikan negara kecil itu menerusi pembawaan karakter rakyatnya.

Tuntasnya, diplomasi lembut seperti ini memainkan peranan penting dalam era moden, membentuk imej sesebuah negara yang membawa nilai kemanusiaan menerusi gelanggang diplomasi besar.

*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!