Polis KL tahan 194 orang ingkar PKP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menahan 194 orang sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tangkapan itu membabitkan 127 penduduk tempatan dan 67 warga asing berusia 16 hingga 86 tahun.

“Kita membuka 105 kertas siasatan dengan 64 orang sudah dituduh di mahkamah. Tangkapan terhadap individu ini dilakukan kerana mereka didapati mengingkari PKP iaitu tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan polis.

“Selain itu, mereka tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi arahan pihak polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Mazlan berkata, bagi pelaksanaan PKP fasa kedua, pihaknya akan bertindak lebih tegas dan memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya orang ramai dengan mengadakan sebanyak 56 sekatan jalan raya Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sekatan membabitkan 4,470 orang petugas yang terdiri daripada 554 orang pegawai kanan polis, 3,016 orang pegawai rendah polis, 664 petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 36 orang petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau berkata, seramai 98 petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM), 28 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 28 petugas Radicare, 11 orang petugas Institut Sosial Malaysia (ISM) dan orang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bertugas.

“Orang ramai perlu memberi kerjasama duduk di rumah supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.