1,200 peserta ‘serbu’ masjid, sertai Briskwalk Jengka

MARAN – Program Briskwalk Keluarga Rakan Muda Aktif Masjid Bilangan 3 peringkat Daerah Jengka pada Sabtu mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan 1,200 peserta sekali gus membuktikan program masjid semakin dekat di hati generasi muda.
Sasaran awal adalah 800 peserta sahaja namun pendaftaran meningkat mendadak sehingga penganjur terpaksa menghadkan penyertaan kepada 1,200 peserta.
Program bermula seawal 5.40 pagi di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bandar Jengka dengan solat Subuh berjemaah sebelum diteruskan dengan kuliah Subuh.
Aktiviti seterusnya diadakan di dataran masjid membabitkan sesi taklimat keselamatan serta senaman ringan sebelum briskwalk dilepaskan pada jam 7.30 pagi.

Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, penganjuran aktiviti berbentuk riadah dan kerohanian itu antara usaha bagi mendekatkan golongan muda dengan institusi masjid.
Menurutnya, masjid perlu terus dimakmurkan dengan penglibatan anak muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan ummah pada masa hadapan.
“Kita mahu remaja menjadikan masjid sebagai pusat pembelajaran, pembangunan sahsiah dan aktiviti bermanfaat.
“Justeru, program sebegini mampu memupuk kecintaan mereka kepada rumah Allah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pendaftaran program meningkat mendadak sehingga memaksa penganjur menghadkan penyertaan pada angka 1,200 sahaja.
Menurutnya, sambutan sangat menggalakkan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita hanya sasarkan 800 peserta tetapi apabila dibuka pendaftaran terus meningkat hingga 1,200 orang.
“Kita tutup pendaftaran pada jumlah itu demi kelancaran dan lebih istimewa, 31 peserta terdiri daripada Orang Asli Jahut,” katanya.
Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka itu dijangka diteruskan sebagai acara tahunan bagi menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda, mendekati masjid melalui aktiviti sihat, dinamik dan bernilai kerohanian.
Ringkasan AI
- Program Briskwalk Keluarga Rakan Muda Aktif Masjid mendapat sambutan hebat dengan 1,200 peserta
- Sasaran awal 800 peserta dilampaui dengan pendaftaran meningkat mendadak
- Aktiviti dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bandar Jengka
- Tujuan program ialah mendekatkan golongan muda dengan masjid dan aktiviti berbentuk riadah serta kerohanian
- Program ini dijangka menjadi acara tahunan untuk menggalakkan kecintaan generasi muda terhadap masjid melalui kegiatan sihat dan dinamik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

