Mas Ermieyati letak jawatan Ketua Bersatu Masjid Tanah

SHAH ALAM - Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merupakan pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah pada Khamis.
Peletakan jawatan itu dibuat bersama 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian terbabit, menurut bekas Setiausaha Bahagian, Shahrul Azhar Amir.
"Pertemuan yang dihadiri ahli jawatankuasa bahagian, ketua-ketua sayap serta ketua-ketua cawangan selama dua jam ini berlangsung dengan baik dan ketua bahagian telah memberikan penjelasan tentang perkembangan terkini konflik politik Bersatu.
“Mesyuarat ini merakamkan secara sebulat suara tentang pendirian Bersatu Masjid Tanah bahawa tindakan ini dibuat atas faktor kehilangan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.
"Dengan peletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah terbubar secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Bersatu mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi sejurus berita peletakan jawatan tersebar.
Pada Sabtu lalu, ahli Parlimen Masjid Tanah itu hadir ke majlis 'reset' politik bagi menyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat keahliannya dalam Bersatu pada Jumaat.
Hamzah turut mendakwa disokong 18 daripada 25 ahli Parlimen Bersatu.
Difahamkan, kehadiran Mas Ermieyati ke perhimpunan pertemuan digerakkan pasca pemecatan Hamzah menyebabkan dirinya berada dalam ‘radar’ pimpinan Bersatu.
Ringkasan AI
- Datuk Mas Ermieyati Samsudin letak jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah bersama 39 ahli jawatankuasa
- Peletakan jawatan atas faktor kehilangan kepercayaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah terbubar secara rasmi
- Mas Ermieyati mengesahkan peletakan jawatan ketika dihubungi
- Kehadirannya di majlis 'reset' politik menunjukkan sokongan kepada Timbalan Presiden yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

