X

Kindly register in order to view this article
!

Polis cari 866 jemaah tabligh di Johor

Ayob Khan (dua dari kiri) diberikan taklimat dan penerangan ringkas melawat pusat bekalan makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam Op Covid-19 di bandar Simpang Renggam, Kluang, Johor di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang mengesan 866 jemaah tabligh dari negeri ini yang masih belum menjalankan ujian saringan kesihatan selepas hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sudah mengenal pasti senarai jemaah tersebut dan mereka perlu segera tampil untuk menjalani tapisan kesihatan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

"Jumlah keseluruhan jemaah tabligh di Johor yang mengikuti perhimpunan itu melibatkan 2,086 orang dan daripada jumlah tersebut, 1,220 sudah hadir dan menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Selebihnya 866 orang lagi masih belum melakukannya, tiada tempoh untuk mereka berbuat demikian, tetapi wajib menjalani saringan kesihatan, mereka tidak boleh memandang remeh perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Johor (IOK) Johor di sini hari ini.

Katanya, bagi jemaah tabligh yang mengikuti perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia pula, seramai 73 orang sudah menjalani saringan sejak 23 Mac lalu hingga semalam dan semuanya didapati negatif Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 3,576 anggota dan pegawai polis ditugaskan sepanjang Op Covid-19 dengan dibantu 1,293 anggota daripada agensi lain antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Mengenai penugasan di dua kawasan Simpang Renggam yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, beliau memberitahu, pihaknya menambahkan anggota daripada 151 pada 27 Mac lalu menjadi 214 pada 29 Mac.

Tambahnya, tujuh sekatan jalan raya dilakukan melibatkan Jalan Kahang-Jalan Batu Pahat Mersing, Kilometer 33 Tol Simpang Renggam, simpang masuk ke Parit Haji Salam, Parit Ibrahim Majid selain di Jambatan Parit Haji Ibrahim, Jambatan Linau dan Tol Machap.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, pihak polis sudah melakukan pemeriksaan di 1,124 premis seluruh negeri.

Menurut Ayob Khan, dalam tempoh tersebut juga penurunan indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 150 kes bersamaan 41.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 361 kes.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus