RM26 juta bina bangunan baharu SK Paya Rumput

MELAKA - Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput dijangka menerima peruntukan sebanyak RM26 juta bagi pembinaan bangunan baharu dalam masa terdekat bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan berkenaan telah dimasukkan dalam senarai cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kini menunggu pengumuman rasmi daripada pihak kementerian.
Menurutnya, pembinaan baharu itu melibatkan penambahan enam bilik darjah serta beberapa kemudahan lain bagi menampung pertambahan murid di kawasan padat penduduk itu.
"Alhamdulillah, kita masih menunggu keputusan akhir daripada pihak kementerian dan difahamkan projek ini telah dimasukkan dalam pengumuman baru-baru ini.
"Kita harap ada berita gembira buat warga Paya Rumput kerana tanah bagi projek ini juga telah dikenal pasti dan disediakan," katanya pada program Cilik Tenaga Bersama TNB : Tenaga Hari ini, Menjana Hari Esok di sekolah berkenaan pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Retail TNB Retail, Datuk Kamal Arifin Kamal dan Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Yusri Seman.
Pada majlis itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada tiga sekolah dalam zon Paya Rumput, SK Paya Rumput, SK Cheng dan SK Krubong bagi pelaksanaan Program Smart TV di bawah inisiatif KPM untuk memperkukuh pembelajaran digital.
Selain itu, TNB turut menyumbangkan 150 tiket lawatan ke Pusat Sains Negara kepada murid sekolah berkenaan sebagai galakan terhadap minat dalam bidang sains dan teknologi.
Dalam perkembangan lain Rais yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, berkata, kawasan Paya Rumput juga menerima peruntukan RM4.1 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menaik taraf persimpangan utama di Jalan Paya Rumput yang sering sesak terutama waktu puncak.
"Kawasan ini sangat sibuk kerana menempatkan tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah berhampiran Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah - Jasin (AMJ).
"Peruntukan ini diluluskan untuk menambah baik sistem lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan ibu bapa serta penduduk sekitar," katanya lagi.
Ujarnya, projek itu kini di peringkat perbincangan akhir bagi menentukan kaedah pelaksanaan terbaik sebelum dimulakan tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

