Iraq guna tanah liat bendung ribut pasir

Projek itu diharap dapat mengurangkan ribut debu pada musim panas akan datang.
Projek itu diharap dapat mengurangkan ribut debu pada musim panas akan datang.
A
A
A

BAGHDAD - Di sebuah kawasan gurun di selatan Iraq, beberapa jengkaut menyebarkan lapisan tanah liat lembap di atas bukit-bukit pasir sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi ribut pasir yang semakin kerap berlaku.

Ribut pasir kian mengancam Baghdad sejak beberapa tahun lalu yang dipicu oleh fenomena perubahan iklim hingga memberi impak besar terhadap kesihatan komuniti setempat.

Keadaan itu didorong oleh kemarau teruk, peningkatan suhu dan aktiviti penebangan yang tidak terkawal.

Pihak berkuasa Iraq telah memberi amaran bahawa ribut yang menyesakkan itu akan menjadi semakin buruk, sekali gus menambah keperluan mendesak untuk menangani punca utama masalah tersebut.

Di kawasan antara bandar Nasiriyah dan Samawah yang terletak tidak jauh dari lokasi runtuhan Sumeria, kumpulan pekerja bekerja keras untuk menstabilkan tanah dengan menggunakan lapisan tanah liat lembap setebal 20-25 sentimeter.

Projek berkenaan juga melibatkan penanaman anak benih tahan haba seperti Prosopis dan Conocarpus untuk mengukuhkan lagi tanah.

"Matlamat utama adalah untuk mengurangkan kesan ribut debu rentas sempadan. Ia diharap dapat mengurangkan ribu debu pada musim panas akan datang," kata Udai Taha Lafta yang mengetuai projek tersebut.

Objektif jangka pendek pula adalah untuk melindungi lebuh raya selatan di mana banyak kemalangan telah berlaku akibat jarak penglihatan yang terhad semasa ribut debu.

Artikel Berkaitan:

Seorang jurutera tempatan memeriksa keadaan tanah sebelum melaksanakan projek tersebut.
Seorang jurutera tempatan memeriksa keadaan tanah sebelum melaksanakan projek tersebut.

Langkah mitigasi

Kementerian Alam Sekitar menganggarkan Iraq kini diancam kira-kira 243 ribut setahun dan kekerapannya dijangka meningkat kepada 300 'hari berdebu' menjelang 2050 melainkan langkah mitigasi drastik dilaksanakan.

Pada 2023, pihak berkuasa di Baghdad bekerjasama dengan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-Habitat) dan Dana Kuwait untuk Pembangunan Ekonomi Arab di kawasan dikenal pasti sebagai sumber utama ribut pasir.

Projek itu sudah melaksanakan beberapa kaedah di tiga kawasan selatan termasuk menggali terusan air dan membekalkan elektrik bagi mengepam air dari Sungai Furat serta menyediakan tanah tandus untuk tumbuh-tumbuhan.

Jentolak membersihkan bukit-bukit pasir dan mengorek tanah liat di gurun selatan Samawah.
Jentolak membersihkan bukit-bukit pasir dan mengorek tanah liat di gurun selatan Samawah.

Salah satu matlamat utama projek itu adalah untuk meningkatkan kawasan hijau dan membolehkan para petani mengekalkan tanah pertanian selepas kemarau serta kekurangan air kronik yang telah menjejaskan kawasan pertanian secara drastik.

Qahtan Al-Mhana di Kementerian Pertanian berkata, usaha menstabilkan tanah memberi peluang kepada aktiviti pertanian di kawasan berpasir untuk terus bertahan.

Beliau menambah Iraq berpengalaman luas dalam memerangi penggurunan dan ribut debu melalui penstabilan bukit pasir.

Sejak tahun 1970-an, negara itu telah melaksanakan projek sedemikian, namun sebahagian besarnya terhenti selepas dilanda pergolakan dan cabaran alam sekitar selama beberapa dekad.

"Usaha tersebut telah disambung semula kerana impak perubahan iklim yang semakin teruk. Kami sedang mencapai kemajuan secara perlahan, tetapi berterusan," kata Najm Abed Taresh di Dhi Qar University. - AFP

 

 

Ringkasan AI

  • Di kawasan gurun di selatan Iraq, pekerja menyebarkan lapisan tanah liat lembap untuk memerangi ribut pasir
  • Ribut pasir di Baghdad dipicu oleh perubahan iklim, kemarau teruk, peningkatan suhu, dan penebangan tidak terkawal
  • Projek ini melibatkan penanaman anak benih tahan haba untuk menstabilkan tanah
  • Kementerian Alam Sekitar Iraq menganggarkan kekerapan ribut akan meningkat tanpa langkah mitigasi
  • Usaha ini juga bertujuan untuk meningkatkan kawasan hijau dan membolehkan pertanian bertahan selepas kemarau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!