Pilihan Raya Israel: Titik perubahan Asia Barat

Pemilihan kali ini dijangka sengit dan bakal menentukan nasib Netanyahu.
Pemilihan kali ini dijangka sengit dan bakal menentukan nasib Netanyahu.
A
A
A

PILIHAN Raya Umum Israel berpotensi menentukan hala tuju politik, masa depan rakyat Palestin dan kestabilan rantau Asia Barat yang terus dibelenggu konflik.

Pertarungan politik kali ini bukan sekadar menentukan sama ada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mampu mengekalkan kuasa malah turut menguji sejauh mana pengaruh kelompok sayap kanan dalam menentukan dasar keselamatan dan pengilhakan wilayah.

Keputusan pilihan raya berkenaan juga menjadi perhatian masyarakat antarabangsa ketika usaha mencari penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin masih berdepan pelbagai halangan selain kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya semula ketegangan ketenteraan dengan Iran.

Dalam keadaan itu, perubahan kepimpinan atau pembentukan kerajaan baharu tidak semestinya menjamin perubahan dasar secara menyeluruh.

Namun, komposisi kerajaan yang terbentuk selepas pilihan raya bakal mempengaruhi keputusan berkaitan Palestin, hubungan dengan negara jiran dan pendekatan Israel terhadap ancaman keselamatan serantau.

Netanyahu menjadikan pemilihan tersebut sebagai pertarungan antara mempertahankan kepentingan Israel dan tunduk kepada tekanan antarabangsa yang mahukan penubuhan sebuah negara Palestin.

Namun, tiada parti utama yang bertanding secara jelas menjadikan perkara tersebut sebagai cadangan utama kempen mereka.

Parti Likud pimpinan Netanyahu menggunakan slogan ‘Yamin o Palestin’ (Sayap kanan atau Palestin). Pendekatan itu menggambarkan bagaimana isu keselamatan dan masa depan wilayah Palestin terus menjadi sebahagian daripada persaingan politik Israel.

Kepimpinannya terus dibayangi pelbagai kontroversi termasuk terpalit kes rasuah.

Artikel Berkaitan:

Puak pembangkang turut melihat Netanyahu sebagai ancaman kepada institusi demokrasi berikutan usaha yang dicadangkan oleh sekutunya untuk mengehadkan kuasa kehakiman.

Dalam masa yang sama, Netanyahu masih mempunyai penyokong yang melihatnya sebagai pemimpin berpengalaman.

Beliau juga membingkaikan kepimpinannya sebagai benteng yang kononnya melindungi Israel daripada tekanan luar dan ancaman serantau.

Kira-kira 7.33 juta pengundi layak mengundi dan angka itu meningkat sekitar 5.4 peratus berbanding jumlah pengundi pada 2022.
Kira-kira 7.33 juta pengundi layak mengundi dan angka itu meningkat sekitar 5.4 peratus berbanding jumlah pengundi pada 2022.

Peluasan wilayah, masa depan Palestin

Nasib penduduk Palestin di Genting Gaza dan Tebing Barat juga terus terancam. Pendekatan puak ‘ekstremis’ menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan pengilhakan wilayah dan pengusiran kira-kira 1.86 juta penduduk Palestin.

Tokoh kontroversi seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich antara yang lantang mahu merampas wilayah Palestin serta kawasan di Beirut.

Cadangan sedemikian berpotensi meningkatkan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal, memburukkan krisis kemanusiaan dan menyukarkan usaha mencapai penyelesaian damai antara Israel dengan Palestin.

Gagasan Israel Raya turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan rantau itu apabila konsep tersebut dikaitkan dengan aspirasi peluasan wilayah Israel yang melangkaui sempadan merangkumi wilayah Palestin yang diduduki, sebahagian Lubnan dan Syria, Jordan serta Semenanjung Sinai di Mesir dan Iraq.

Risiko konflik dengan Iran

Selain pergolakan politik domestik, kemungkinan tercetusnya semula konflik dengan Iran turut menjadi tumpuan.

Laporan mengenai persediaan serangan baharu oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) kembali menimbulkan kebimbangan ketika Teheran turut memperkukuh keupayaan ketenteraannya.

The New York Times mendedahkan kedua-dua sekutu itu hampir melancarkan serangan terhadap Iran pada awal Oktober sebelum Presiden Donald Trump menangguhkannya.

Keputusan yang diambil Netanyahu selepas pilihan raya pula dikhuatiri memberi kesan besar terhadap keselamatan serantau khususnya jika ketegangan di beberapa medan konflik terus memuncak.

Kempen 'panas', protes tercetus

'Perang kempen' pilihan raya Israel turut dicemari serangan peribadi dan penggunaan isu keganasan sebagai bahan politik, sekali gus mencerminkan suasana politik yang semakin tegang.

Baru-baru ini, seorang penyokong kuat Netanyahu melabelkan pemimpin parti pembangkang, Gadi Eisenkot sebagai ‘monyet Maghribi yang dikawal golongan elit Ashkenazi’ (Yahudi keturunan Eropah Tengah dan Timur).

Selain itu, Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir didakwa menggunakan imej kontroversi janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sengaja menyasarkan penduduk Palestin untuk kempen pilihan raya.

Akhbar Haaretz juga melaporkan sebuah papan iklan parti berhaluan kiri diconteng dengan mesej berunsur ugutan terhadap pemimpinnya, Yair Golan.

Beberapa hari sebelum pemilihan itu, ribuan penunjuk perasaan turut berhimpun mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan ketika serangan pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan Perang Gaza. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!