PKP: Peniaga ambil inisiatif jual barangan dalam talian

Wan Solihin menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada peniaga dan penjaja di pekarangan MPK hari ini.
Wan Solihin menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada peniaga dan penjaja di pekarangan MPK hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga kecil dan penjaja antara golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Namun begitu, ada segelintir daripada mereka sudah mula menjalankan perniagaan dalam talian dengan menawarkan penghantaran terus ke rumah pelanggan selain menggunakan perkhidmatan pos.

Peniaga bonet kereta (car boot sale), Wan Amirul Asraf Wan Azman, 32, berkata, dia kini menjual kosmetik dan minyak wangi secara dalam talian bagi menampung kos perbelanjaan keluarganya.

"Saya ada jual barang dalam talian dengan menawarkan khidmat penghantaran terus ke rumah dan melalui pos jika ada pesanan daripada pelanggan.

"Jadi bekalan barangan yang ada ini saya jual secara perlahan-perlahan dan sekurang-kurangnya boleh bantu tambah pendapatan serba sedikit," katanya.

Wan Amirul Asraf antara 1,128 peniaga kecil dan penjaja di daerah Kuantan yang menerima sumbangan daripada kerajaan Pahang berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.

Bantuan itu disampaikan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Wan Solihi Wan Hassan dan Datuk Hasnol Hamidi kepada semua penerima melalui pandu lalu.

Ditanya mengenai sumbangan yang diterima, Wan Amirul Asraf berkata, sumbangan itu dapat membantu meringankan bebannya sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam kepayahan mencari rezeki, pasti bantuan daripada kerajaan diperlukan bagi melegakan kesukaran hidup sejak PKP dilaksanakan.

"Terima kasih kerajaan Pahang kerana memberi bantuan kepada peniaga harian seperti saya ini. Walaupun ia tidak seberapa tetapi boleh membantu ekonomi saya sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Wan Solihi berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan lebih RM800,000 untuk diagihkan kepada peniaga dan penjaja yang tidak dapat menjalankan perniagaan mereka sejak pelaksanaan PKP.

Menurutnya, semua peniaga yang berdaftar dengan MPK layak mendapatkan bantuan yang diberikan secara terus.

"Kerajaan Pahang begitu prihatin dan membantu semua peniaga serta penjaja yang sememangnya memerlukan bantuan pada ketika ini.

"Saya yakin sumbangan ini dapat membantu serba sedikit perbelanjaan mereka," katanya.