Polis kesan pemandu Nissan Almera langgar lampu isyarat, masuk laluan bertentangan

SERDANG – Polis telah mengesan pemandu sebuah kereta jenis Nissan Almera yang tular di media sosial selepas didapati memandu secara melulu dan melawan arus di Jalan Merbuk Puchong di sini pada 27 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun selepas berasa tidak selamat dengan cara pemanduan kereta terbabit.
"Siasatan mendapati tiada kemalangan berlaku ketika kejadian.
"Namun rakaman video kamera papan pemuka selama tiga minit yang tular pada Sabtu memaparkan pemandu Nissan Almera ini memandu secara berbahaya dengan memotong secara melulu, melanggar lampu isyarat dan memasuki laluan bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muhamad Farid berkata, pemilik kereta Nissan Almera itu telah dikesan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis mengesan pemandu Nissan Almera yang memandu melulu di Jalan Merbuk Puchong
- Laporan diterima daripada lelaki berusia 36 tahun yang berasa tidak selamat
- Tiada kemalangan berlaku ketika kejadian
- Rakaman video menunjukkan pemandu memotong melulu dan melanggar lampu isyarat
- Pemilik kereta telah dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
