Dari bendang ke Putrajaya: Mat Sabu fokus beras, lembu dan kambing

DARI bendang ke Putrajaya, perjalanan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bukan sekadar kisah politik, tetapi misi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.
Dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, beliau yang turut dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beras, lembu dan kambing kini menjadi fokus utama kementeriannya bagi memperkukuh sekuriti makanan nasional.
Ketika keluasan sawah semakin berkurang dan tahap sara diri beras masih rendah, beliau melihat sektor pertanian dan ruminan sebagai benteng keselamatan negara.
Usaha meningkatkan pengeluaran tempatan termasuk pembangunan tanah terbiar serta peluasan penternakan dianggap langkah strategik jangka panjang. Baginya, soal makanan bukan lagi isu pertanian semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan masa depan negara.
SINAR HARIAN: Datuk Seri sering menyebut berkenaan tanaman jagung bijirin, kebergantungan bawang merah dan industri ruminan. Boleh kongsikan perkembangan ini?
MOHAMAD: Banyak (tanaman bawang) tersebar di Selangor dan dijangka boleh dituai dalam sebulan lagi, di Malaysia purata hasil bawang sekitar empat tan per hektar yang saya kira sederhana baik. Tahun lepas Jabatan Pertanian ada buat pembenihan yang banyak di Perak, Pulau Pinang dan Kelantan. Tahun ini pula penanaman akan dibuat secara besar-besaran.
Bagi industri ruminan kita sedang melaksanakan libat urus di semua peringkat dan menjelang 2030 sasaran kita ialah ruminan Malaysia mencapai 50 peratus berbanding sekitar 20 peratus sekarang. Meskipun mencapainya agak mencabar, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah merangka beberapa program yang diluluskan Jawatankuasa Sekuriti Makanan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Kita menumpukan perhatian kepada penternak lembu, kambing untuk memperluas usaha mereka di samping kawasan-kawasan baru yang akan diterokai.
Sejauh mana projek seperti Penanaman Padi 5 Musim di MADA mampu membantu meningkatkan tahap sara diri dan menjamin keselamatan makanan negara?
Beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan saya yakin lebih 95 peratus rakyat bergantung kepada nasi. Walaupun ada makanan-makanan yang lain tapi kalau tak makan nasi rasa macam tak puas. Namun Kadar Sara Diri (SSR) beras kita berada sekitar 56 peratus, kedudukan tahap keselamatan makanan kita agak tidak baik. Kawasan sawah kita telah berkurangan lebih 20,000 hektar kerana pembangunan, perumahan, industri dan sebagainya.
Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini turut menyebabkan hasil padi ada kalanya merosot dengan ketara. Namun begitu, kita bernasib baik apabila harga beras kini agak sederhana susulan penurunan mendadak harga import dari India, Vietnam dan Thailand, sekali gus membolehkan kita memperoleh bekalan pada harga lebih rendah.

Dua tahun lalu, penjualan beras India terganggu, menyebabkan kerajaan perlu memberi subsidi kepada pengilang untuk menstabilkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram. Namun, hanya 15 peratus rakyat membeli beras putih tempatan dengan subsidi itu kerana harga beras import lebih rendah.
Kini, kementerian menumpukan usaha untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus SSR beras dicapai, terutamanya dengan pembangunan semula tanah terbiar di Sabah dan Sarawak. Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin sasaran 70 ke 80 peratus boleh dicapai pada masa depan. Soal bekalan beras dan ruminan adalah isu keselamatan negara. Kita perlu menumpukan perhatian penuh kerana ia kritikal bagi sekuriti makanan.
Ramai pelajar cemerlang mempunyai laluan jelas, namun bagaimana pula dengan golongan yang kurang cenderung akademik? Apakah galakan dan peluang yang kementerian sediakan untuk menarik mereka menceburi bidang pertanian, dan sejauh mana sektor ini mampu meningkatkan taraf hidup rakyat?
Ramai pelajar muda sebenarnya takut mencuba bidang pertanian kerana soal modal dan tanah. Sebab itu kementerian menawarkan bantuan melalui Program Agropreneur Muda dalam bentuk geran antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi membolehkan mereka memulakan usaha.
Selain itu, media juga digalakkan mempromosikan kejayaan anak muda dalam pelbagai cabang pertanian, sama ada industri kecil, pembuatan kuih atau penanaman tanaman. Kita mahu peluang yang ada di tanah air ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
Banyak peluang wujud, khususnya bagi mereka yang bersungguh-sungguh dan berani berusaha. Contohnya penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang kini boleh dijalankan secara perusahaan dengan pasaran yang jelas. Walaupun harga ada turun naik akibat faktor cuaca atau import, kerajaan sentiasa memantau pasaran bagi memastikan kestabilan. Pertanian kini menjadi keutamaan global kerana soal keselamatan makanan, sama penting seperti pertahanan negara.
MAHA 2026 bakal berlangsung Ogos ini. Apakah pembaharuan yang dibawa kali ini supaya ia bukan sekadar pameran rutin, tetapi memberi impak nyata kepada rakyat dan industri?
Tahun ini, fokus MAHA adalah pada mekanisasi baharu dan penyertaan antarabangsa. Produk agrikultur Malaysia akan dipromosikan ke peringkat global, manakala peserta antarabangsa turut dijemput hadir. Kali ini, kita menjangka penyertaan lebih banyak negara termasuk Rusia, Amerika Syarikat, China, Iran dan beberapa negara Afrika. Produk seperti nanas, durian, kelapa, jagung bijian, padi dan ruminan akan ditonjolkan.
MAHA kali ini juga menekankan konsep permodenan pertanian, dengan contoh teknologi dari luar negara seperti pemantauan digital ladang dan operasi terkini untuk meningkatkan keselamatan makanan. Ini penting supaya Malaysia tidak menghadapi masalah besar sekiranya berlaku bencana atau gangguan bekalan global.
Sepanjang karier politik Datuk Seri, apakah yang benar-benar memberikan kesan kepada perjalanan Datuk Seri?
Banyak pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam. Salah satunya adalah penangkapan dan pengasingan di bawah ISA, saya pernah dibuang daerah di Kuala Pilah selama dua tahun. Itu pengalaman yang tak mungkin saya lupa. Tetapi dalam tempoh itu, saya tidak duduk saja, saya terlibat dengan pertanian untuk mengisi masa.
Pagi-pagi, saya ambil upah sembelih ayam di pasar Kuala Pilah, kemudian ke sawah padi di Sungkak bersama penduduk tempatan. Itu bukan soal gaji atau upah sangat, tetapi minat dan cara untuk menghabiskan masa kerana seorang diri sepanjang hari.
Selain itu, saya juga mengajar asas membaca dan menulis kepada budak-budak kampung di Sawah Lebar. Semua pengalaman itu menjadi ingatan yang penting dalam hidup saya.
Kemudian, dalam memperjuangkan hak rakyat seperti Akta Perhimpunan Aman 2012, saya turut terlibat secara langsung.
Semasa Bersih 2.0, saya mengalami insiden di mana motosikal saya bertembung dengan kereta polis dan saya cedera yang agak serius. Bahkan sehingga kini, lutut saya masih terkesan akibat kecederaan itu kerana ligamen pecah dan perlu rawatan.
Selain pengalaman fizikal, tekanan moral juga sangat besar. Contohnya, apabila saya menyebut nama pejuang kemerdekaan seperti Mat Indera, Dr Bahanuddin Alhilmi, Ibrahim Yaakob dan beberapa tokoh lain, ia menimbulkan kontroversi kerana Malaysia ketika itu hidup di bawah doktrin antikomunis.
Saya menerima lebih 1,000 laporan polis, termasuk ancaman fizikal; ceramah saya pernah dibaling batu, kereta saya dihalang dan saya dikepung ketika melawat adik Mat Indera di Johor. Semua itu menjadi kenangan yang besar dalam hidup saya dan pengalaman paling berat ialah tekanan yang turut menimpa keluarga saya.
Sebagai bekas Menteri Pertahanan yang memikul tanggungjawab keselamatan negara, bagaimana Datuk Seri berdepan isu kontroversi seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS)?
Ketika itu kita mendengar pelbagai spekulasi mengenai LCS yang tidak mengikut jadual. Untuk membuat tuduhan, saya tidak berani. Sebab itu jawatankuasa siasatan ditubuhkan dan diketuai Tan Sri Ambrin Buang dengan persetujuan Kabinet.
Laporan lengkap telah diserahkan kepada menteri dan Perdana Menteri, namun tidak lama selepas itu kerajaan jatuh.
Kita berharap segala pembongkaran yang melibatkan peringkat tertinggi Angkatan Tentera dapat diselesaikan dengan sebaiknya demi keselamatan negara.
Walaupun negara aman, kita tetap perlu bersiap sedia menghadapi peperangan dan juga perdamaian. Itu prinsip yang saya pegang ketika menjadi Menteri Pertahanan.
Bagaimana Datuk Seri melihat kesinambungan perjuangan parti Amanah khususnya dalam melahirkan calon dan pelapis baharu?
Perjuangan seperti ini menuntut kesungguhan yang sangat tinggi. Ia bukan sesuatu yang boleh datang dan pergi begitu sahaja. Ada yang gembira, ada yang susah hati kerana ia memerlukan tumpuan sepenuh masa, kerajinan dan keberanian untuk menumpukan isu serta penampilan di khalayak ramai.
Saya sendiri alhamdulillah, masih dikurniakan kesihatan yang agak baik, jadi saya boleh turun ke program-program. Kadang-kadang saya berada di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang selama tiga hingga empat hari berturut-turut.
Balik Kuala Lumpur, tukar baju dan berehat sekejap, kemudian sambung pula ke Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Ada rakan yang ikut saya sehingga demam, ada juga yang terpaksa diganti. Tapi pengalaman ini penting supaya kita dapat lihat sendiri situasi di lapangan. Saya rasa, untuk generasi pelapis baru, kesungguhan dan motivasi ini adalah aspek yang paling utama. Tidak boleh hanya ikut dari jauh atau mengharapkan orang lain sahaja.
Dari segi cabaran dalam politik, apakah yang paling sukar dihadapi oleh aktivis dan pemimpin muda?
Cabaran paling besar ialah bekerja tanpa upah. Dalam politik, kita kena ada kekuatan jiwa yang sangat kuat kerana kita boleh ditangkap, didemo, atau ditekan oleh pihak tertentu. Dulu, saya sendiri tak pernah terfikir akan jadi Menteri.
Jadi ahli Parlimen pun sudah cukup tinggi memandangkan latar belakang saya, bukan daripada keluarga politik, keluarga saya semua buat bendang. Jadi tiba-tiba diumumkan jadi Menteri Pertahanan, ia adalah satu tanggungjawab besar.

Sebelum sampai ke tahap itu, kita kena bekerja tanpa upah, kerana ia bukan sekadar kerjaya tetapi amanah yang perlu dipegang dengan serius. Saya risau kalau generasi muda tidak mempunyai motivasi jiwa yang sama, mereka mungkin akan mudah terpengaruh atau hilang semangat.
Bagaimana Datuk Seri menguruskan Amanah apabila sudah berada dalam kerajaan?
Bila jadi kerajaan, cabarannya berbeza. Menteri ada elaun dan gaji, tetapi kehadiran diri sendiri tetap penting. Kadang-kadang kita panggil pegawai, tapi saya rasa tidak puas kalau tak lihat sendiri bagaimana bantuan disalurkan, sejauh mana perkembangan projek, dan kesannya kepada rakyat.
Kalau hanya menghantar pegawai, kita mungkin terlepas beberapa perkara penting. Contohnya, kalau kita bantu padi secara besar-besaran, ada yang sambut dan buat, ada juga yang tidak.
Kita perlu turun, tengok sendiri, perhatikan masalah yang berlaku dan pastikan motivasi orang yang terlibat tetap tinggi. Ini juga memberi saya peluang untuk memahami situasi sebenar dan membuat keputusan lebih tepat.
Ada pandangan mengatakan Amanah kini kelihatan lebih senyap selepas menjadi sebahagian kerajaan. Apa pandangan Datuk Seri?
Memang berbeza antara jadi pembangkang dan jadi kerajaan. Bila dalam kerajaan, banyak perkara kita tahu, termasuk hal-hal sensitif dan rahsia negara. Sebagai Menteri Pertahanan, misalnya, kita perlu berhati-hati kerana segala ucapan diperhatikan pelbagai pihak. Walaupun begitu, dalam mesyuarat tertutup, banyak isu tetap dibangkitkan.
Saya nampak lenggok Amanah kini berbeza sedikit kerana menjadi parti kerajaan. Ia tidak lagi sama seperti ketika menjadi pembangkang. Namun prinsip, motivasi dan kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat masih perlu dikekalkan.
Sebagai tokoh yang lebih 40 tahun dalam politik, apakah pesan Datuk Seri kepada generasi muda yang ingin memimpin?
Elakkan politik perkauman dan fokus pada semangat patriotik. Kita perlu lihat kejayaan orang lain, sebagai contoh orang Cina dalam pertanian, ternakan, perusahaan dan pembinaan, jika mereka boleh berjaya, kenapa Melayu tidak boleh? Kita perlu memajukan orang Melayu melalui usaha yang produktif, bukan melalui isu perkauman yang sempit.
Perkauman tidak akan habis sampai kiamat kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Persaingan sihat, pendidikan, dan peluang sama rata adalah kunci. Kita boleh bercakap soal Melayu, soal Islam, tetapi jangan lupa bahawa pembangunan bersama adalah lebih penting daripada sentimen perkauman semata-mata.
Ringkasan AI
- Dari bendang ke Putrajaya, perjalanan Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan misi memastikan bekalan makanan negara tetap terjamin
- Beras, lembu, dan kambing menjadi fokus utama kementeriannya untuk memperkukuh sekuriti makanan nasional
- Usaha meningkatkan pengeluaran tempatan melalui pembangunan tanah terbiar dan peluasan penternakan
- Industri ruminan ditargetkan untuk mencapai 50 peratus sara diri menjelang 2030 dengan libat urus di semua peringkat
- MAHA 2026 menekankan pada mekanisasi baru dan penyertaan antarabangsa untuk promosi produk agrikultur Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
