'Gantung terbalik pun saya tidak akan dedahkan sumber' - Chegubard

NAMA Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bukan asing dalam landskap pembongkaran isu integriti negara. Aktivis berusia 47 tahun itu berulang kali tampil membuat pendedahan melibatkan dakwaan salah guna kuasa, aliran kewangan mencurigakan serta kepincangan tadbir urus dalam institusi awam, termasuk agensi berprofil tinggi.
Walaupun berdepan tekanan berterusan termasuk disaman, ditahan dan disiasat susulan pendedahan terdahulu, Chegubard kekal konsisten mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa, dengan menegaskan setiap maklumat disalurkan demi kepentingan awam, bukan agenda peribadi.
Dalam kes terbaharu melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), laporan polis yang dibuatnya pada 22 Disember 2025 menjadi antara pencetus siasatan rasmi sehingga membawa kepada pertuduhan di mahkamah, sekali gus membuka perbincangan lebih besar mengenai kewujudan kartel dan risiko terhadap keselamatan negara.
Dalam wawancara eksklusif podcast Terus Terang Sinar Harian bersama beliau yang dikendalikan HAIZIR OTHMAN dan HELMI MALIK di Shah Alam, Chegubard menjelaskan mengapa beliau memilih untuk mendedahkan hanya sebahagian maklumat kepada umum, menyerahkan selebihnya kepada pihak berkuasa, serta mempertahankan pendirian bahawa apa yang sedang berlaku bukan serangan terhadap individu, tetapi perang terhadap kartel yang mengancam integriti dan keselamatan negara.
SINAR HARIAN: Daripada mana dapat nama Chegubard. Adakah pernah menjadi pendidik di sekolah?
CHEGUBARD: Saya diberi kesempatan untuk menjadi pendidik buat seketika sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan atau dipanggil cikgu. Saya merupakan kumpulan pertama Diploma Perguruan Malaysia, hasil penstrukturan daripada sijil kepada diploma perguruan, dan sempat mengajar selama tiga tahun di sekolah.
Namun pada 2001, saya ditangkap di sekolah susulan ceramah tanpa permit yang berlangsung seminggu sebelumnya. Saya ditahan, didakwa dan kemudian digantung tugas. Itulah tiga tahun yang paling saya rindukan - pengalaman mendidik dan mengajar yang membentuk perjalanan hidup saya.
Adakah saudara memang individu yang ‘kaki langgar’ iaitu lakukan sesuatu dahulu tanpa memikirkan kesan dan risiko tindakan?
Saya manusia. Saya juga takut. Saya ada keluarga dan saya memikirkan risiko. Tetapi apa pilihan yang saya ada jika negara yang kita diami ini dibiarkan hancur untuk diwariskan kepada anak cucu? Saya bukan orang kaya. Saya tidak mampu mewariskan harta atau tanah di luar negara. Namun, saya boleh mewariskan anak saya sebuah negara yang saya pinjam daripada generasi akan datang - sebuah negara yang kondusif, seperti yang saya nikmati ketika mula menjalani kehidupan.
SINAR HARIAN: Dari mana datangnya dokumen-dokumen untuk pendedahan tersebut?
CHEGUBARD: Pertama, kemungkinan orang mempercayai saya kerana prinsip yang saya pegang iaitu gantung terbalik pun saya tidak akan dedahkan sumber. Banyak maklumat datang daripada mereka yang melihat kepincangan. Kepincangan tetap kepincangan, walau apa alasannya, dan mereka merasakan ia perlu dilawan.
Kedua, saya tidak menolak bahawa ada individu yang mencabar sesuatu projek tetapi tewas dalam kontrak akibat kepincangan yang berlaku. Disebabkan itu, mereka tampil dan memerlukan seseorang yang mereka percayai. Saya menerima perkara ini sebagai satu tanggungjawab untuk disuarakan.
Sejak melangkah dalam aktivisme pada 1998, saya pernah ditangkap, direman dan disoal siasat. Saya juga pernah diberi peluang mengelak pendakwaan jika mendedahkan sumber, tetapi saya memilih untuk tidak berbuat demikian. Saya lebih rela hadapi semua ini daripada mengkhianati kepercayaan.
SINAR HARIAN: Adakah saudara menerima perlindungan atau jaminan keselamatan sewajarnya sebagai whistleblower daripada pihak berwajib?
CHEGUBARD: Saya tidak pernah mendapat layanan sebagai whistleblower dan juga tidak faham apabila dikatakan ada beza antara pelapor, whistleblower dan sebagainya. Tetapi bagi saya jika kita benar membuat keputusan untuk melakukan pendedahan ini, maka bagi saya kita jangan manja sangat. Cumanya, saya rasakan intimidasi terlalu tinggi.
Selain itu, saya terpaksa tour balai-balai polis hanya kerana dokumen rahsia yang didedahkan dan bukannya isu dokumen tipu. Saya rasa itu harus ada pertimbangan. Ini perang serius negara dan saya tidak kisah nama saya tidak dicatat serta tidak peduli sekiranya tidak dilayan, tetapi janganlah teruk sangat ditekan.

SINAR HARIAN: Bagaimana reaksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pendedahan saudara?
CHEGUBARD: Saya bekerjasama rapat dengan beberapa pasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM. Daripada keseluruhan dokumen yang diterima, sekitar 30 peratus saya dedahkan kepada umum, manakala selebihnya diserahkan kepada SPRM dan polis untuk tindakan lanjut.
Mengapa saya dedah? Ada yang berkata sudah-sudahlah, tetapi saya jelaskan bahawa tanpa tekanan, tiada tindakan. Hero dalam cerita ini bukan saya; hero sebenar ialah rakyat. Jika Chegubard seorang melalak, itu tidak membawa nilai. Kerajaan hari ini mengambil kira pandangan rakyat kerana bimbang terhadap populariti, dan tekanan awam inilah yang akhirnya membuahkan hasil. Justeru, saya berterima kasih kepada rakyat serta anggota dalam SPRM dan polis yang masih berpegang pada keperluan bertindak, berbincang dan saling bertukar nota.
Dari satu sudut, agensi berkaitan memberikan kerjasama yang baik, wujud perjuangan dan perbincangan. Namun dari sudut lain, saya melihat seolah-olah hanya satu pihak dan satu individu sahaja yang disiasat, manakala pihak lain seakan-akan terlepas pandang.
SINAR HARIAN: Ada pihak mendakwa saudara menjadi bidak pertembungan antara kartel lama dan kartel baharu, malah diatur oleh pihak tertentu. Bagaimana saudara menjawab dakwaan tersebut?
CHEGUBARD: Saya akui memang ada pertembungan kartel lama dan kartel baharu. Kalau tak bertembung, saya pun tak dapat apa. Pertembungan ini menyebabkan kebocoran maklumat yang banyak. Ada yang kata saya diatur oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), ada yang kata saya bertindak bagi pihak bekas Panglima Tentera Darat (PTD). Saya beritahu, saya serang dua-dua. Jadi saya ini orang siapa? Saya orang rakyat. Saya akui memang ada pertembungan, memang dua-dua cuba memperkudakan saya tetapi saya bertindak bagi pihak rakyat dan mendedahkan perkara itu.
SINAR HARIAN: Mengapa pendedahan dibuat secara berperingkat?
CHEGUBARD: Ops Sun Tzu ialah operasi yang bersifat spesifik. Ada perkara yang kita sasarkan dan kita sudah tahu. Ia digunakan untuk mengumpulkan perhatian serta sokongan rakyat, sebab itu akaun didedahkan. Namun Ops Sun Tzu tidak boleh terhenti. Satu atau dua watak mungkin tersingkir, tetapi ekosistem kartel tidak berubah.
Justeru, kita beralih kepada Ops Yamashita bagi membuktikan kewujudan kartel yang bukan sekadar menyusun perolehan dan projek, tetapi turut menyusun jabatan. Akibatnya, kita bukan sahaja kehilangan nilai wang, malah berdepan ancaman keselamatan.
Kita juga kehilangan askar-askar yang baik kerana mereka tidak menyertai kartel - tertinggal, memilih pencen awal tetapi akhirnya berjaya di luar. Seterusnya, Ops Hiroshima dilaksanakan untuk mengekalkan momentum melalui cebisan pendedahan, termasuk isu pembekalan bateri.
Perang ini kemudiannya diakhiri dengan Ops Jebat. Ops Jebat membawa risiko yang sangat tinggi namun apa yang mampu saya lakukan ialah terus melangkah.

SINAR HARIAN: Dengan semua risiko ini, adakah saudara sebenarnya seronok melakukan perkara sebegini?
CHEGUBARD: Saya bermula dalam politik sebelum memilih jalan aktivisme kerana saya menentang apa yang saya percaya salah. Sejak 2001, saya berhenti makan gaji dan berniaga untuk menyara keluarga. Perniagaan saya kecil, tetapi mencukupi. Dari segi kewangan, apa yang saya lakukan ini tidak memberi implikasi kepada saya.
Mengapa saya teruskan? Kerana saya minat dan percaya pada prinsip. Di mana ada kejahatan, mesti ada pembongkaran. Di mana ada perlawanan, mesti ada saya. Kita membaca sejarah ketika muda, tetapi akhirnya kita perlu mencipta sejarah sendiri supaya apabila tua nanti, kita boleh bercerita. Saya percaya saya dihantar ke muka bumi ini dengan satu peranan.
SINAR HARIAN: Pendedahan yang dibuat hanya sebahagian kecil. Mengapa tidak dedahkan semuanya sekali gus?
CHEGUBARD: Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana tindakan terhadap individu yang mengetuai pasukan tentera di sesebuah negara memerlukan keberanian yang tinggi. Di sesetengah negara, langkah sedemikian berakhir dengan rampasan kuasa, tetapi di Malaysia ia dapat diselesaikan secara tenang. Namun, perang ini bukan terhadap satu atau dua individu, sebaliknya terhadap kartel. Saya tidak mengajak rakyat memusuhi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan saya meminta netizen berhati-hati dalam menulis agar tidak mengguris hati anggota yang sedang berkorban. Yang rosak itu segelintir.
Rasuah akhirnya menurunkan kualiti peralatan, menjejaskan nyawa anggota dan memberi kesan kepada keselamatan negara. Disebabkan itu, kita terpaksa mendedahkan dan merawat masalah ini. Kita bermula dengan tentera kerana ia agensi paling penting dalam soal kedaulatan, sebelum bergerak ke kementerian lain. Rakyat terus menyalurkan maklumat dan dokumen sedang dilengkapkan. Perang rakyat sudah bermula dan kerajaan perlu melihatnya sebagai peluang melawan rasuah secara tuntas, bukan memilih satu dua nama sahaja.
SINAR HARIAN: Pernahkah saudara menerima arahan untuk berhenti atau ‘tarik handbrake’?
CHEGUBARD: Ancaman, ugutan dan tawaran memang saya terima. Namun selain daripada ibu saya, saya tidak menerima arahan daripada sesiapa. Saya pernah berada dalam sebuah parti politik, bermula dengan Parti Keadilan Nasional sebelum ia dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pada 2016, saya dipecat daripada parti kerana membongkarkan dakwaan rasuah berkaitan sebuah projek hutan simpan berhampiran Sepang. Saya mendedahkan arahan berdasarkan dokumen, namun kemudiannya diminta oleh pucuk pimpinan supaya perkara itu tidak diteruskan dan saya dipanggil ke lembaga disiplin. Saya mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil dan dimaklumkan parti sedang bertindak, tetapi bagi saya proses itu terlalu lambat. Saya kemudian menyatakan hasrat untuk ke SPRM dan mendedahkan semua bukti. Lembaga disiplin memaklumkan saya akan dipecat jika berbuat demikian.
Saya menjawab, anggaplah saya tidak berdisiplin dan saya rela dipecat. Saya tidak mempunyai patron atau naungan. Jika saya melihat kepincangan, termasuk dalam parti sendiri, saya akan mendedahkannya. Itu prinsip saya.

SINAR HARIAN: Apa sebenarnya respons parti terhadap tindakan saudara?
CHEGUBARD: Saya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dasar kepercayaan bahawa perjuangan agama, bangsa dan tanah air perlu mempunyai sebuah rumah.
Saya memilih Bersatu kerana parti ini bukan sekadar rumah perjuangan, tetapi hadir dengan janji untuk berbeza. Ada parti yang kelihatan berjuang hebat, namun apabila berdepan isu korupsi dan integriti, mereka goyah, mempertahankan presiden dan akhirnya kalah teruk. Saya memilih Bersatu kerana percaya parti ini tidak akan berkompromi dan tidak mengulangi sejarah sama. Dari segi prinsip, saya kekal sebagai diri saya.
Dalam kes demi kes dan pendakwaan demi pendakwaan, saya tidak menerima pembelaan khusus daripada parti. Namun saya tidak menyalahkan parti kerana parti tidak pernah mengarahkan saya untuk melawan; saya yang memilih jalan itu dan saya bertanggungjawab.
Di peringkat akar umbi dan pertengahan, perjuangan integriti masih wujud, tetapi saya terkejut apabila dimusuhi oleh kelompok tertentu hanya kerana saya melawan secara berterus terang. Saya dihina dan difitnah sehingga memberi kesan kepada keluarga.
Saya tidak pernah meminta sumbangan rakyat; apabila ada yang membantu, ia dimanipulasi sehingga menimbulkan fitnah. Itu yang saya tidak boleh terima. Bukan saya salahkan parti, tetapi saya salahkan kelompok.
Namun begitu, saya tidak kecewa dengan politik sehingga mahu meninggalkan perjuangan ini. Saya melihat Bersatu sebagai tanah yang subur untuk aktivisme, cuma ia perlu dibajai dengan baik, diberi ruang dan tidak diracunkan. Saya percaya Bersatu masih mempunyai masa depan yang baik.
SINAR HARIAN: Pada waktu ini, ada melihat Bersatu seolah-olah retak menanti belah. Jadi, bagaimana saudara melihatnya secara keseluruhan?
CHEGUBARD: Pertempuran yang seharusnya dikenang oleh rakyat bukan soal calon atau bakal pemimpin, tetapi perjuangan kita. Persoalannya hari ini, siapa yang bercakap tentang minyak? Saya pergi ke stesen minyak, rakyat mengeluh. Mereka kata minggu pertama kuota sudah habis. Isu kualiti minyak yang cepat habis dulu pun tidak terasa seteruk sekarang. Beras tempatan pula masih tidak ada di pasaran. Siapa yang bercakap soal ini? Di mana suara rakyat yang sepatutnya dikumandangkan?
Dahulu, setiap isu dibawa. AES, kamera, lampu isyarat, dan rakyat rasa mereka diwakili. Tetapi hari ini, rakyat tidak lagi rasa diwakili dan tidak tahu ke mana hendak pergi.
Saya bimbang sampai satu tahap rakyat akan kecewa dan tidak keluar mengundi kerana mereka melihat janji tidak ditunaikan. Hari ini, kita lihat rakyat semakin tertekan. Ada yang terpaksa mencuri susu untuk anak minum - ini cerita benar. Namun siapa yang bersuara? Orang politik sibuk bermesyuarat dan berjumpa sesama sendiri, sementara rakyat semakin bosan.
SINAR HARIAN: Sepanjang perjuangan ini, pernahkah saudara tertanya-tanya sama ada semua ini berbaloi untuk diri dan keluarga? Pernah rasa ragu-ragu atau sunyi?
CHEGUBARD: Perkara pertama yang paling saya takuti dalam perjuangan ini ialah bersendiri. Orang kata Chegubard berani, ganas, hebat dan macam-macam lagi, tetapi yang sebenarnya saya takut ialah bersendiri. Hampir setiap malam sebelum melelapkan mata, saya berdoa kepada ALLAH SWT kerana saya takut keseorangan. Saya berjuang kerana saya takut bersendiri dalam kubur yang sangat sakit. Saya berharap perjuangan ini menjadi peneman. Sebab itu orang kata saya tak mahu jawatan atau apa-apa, dan memang benar - kerana saya lebih takut bersendiri di kubur.
Kedua, saya takut berjalan bersendiri dalam perjuangan. Namun Alhamdulillah, ALLAH SWT hadirkan orang-orang yang menjadi keluarga saya. Walaupun tidak lahir daripada rahim yang sama, mereka seperti adik-beradik yang menjaga saya dengan bersungguh-sungguh. Saya juga manusia; ada masanya saya berhenti, menoleh ke belakang dan ke hadapan, bertanya apa yang telah dan akan saya lalui. Tetapi dorongan orang sekeliling menguatkan saya. Doa saya, doa kita semua, semoga ALLAH SWT meneguhkan apa yang kita niatkan.
Ringkasan AI
- Chegubard dikenali sebagai aktivis yang berani membuat pendedahan isu salah guna kuasa dalam institusi awam
- Beliau berpendirian maklumat disalurkan demi kepentingan awam dan menghadapi risiko termasuk ditahan
- Pendedahan terbaharunya melibatkan pegawai tertinggi ATM, memicu siasatan rasmi dan pertuduhan di mahkamah
- Chegubard tidak mendedahkan semua maklumat sekaligus, memilih untuk bekerja sama dengan pihak berkuasa seperti PDRM dan SPRM
- Beliau menekankan perjuangannya bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi integriti dan keselamatan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

