Selepas Hamzah, 11 lagi pemimpin dipecat Bersatu

Bersatu memecat keahlian Hamzah dan 11 lagi pemimpin parti itu kerana melanggar Perlembagaan Bersatu.
Bersatu memecat keahlian Hamzah dan 11 lagi pemimpin parti itu kerana melanggar Perlembagaan Bersatu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 11 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.

Setakat jam 6.35 petang Jumaat, mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Tujuh lagi melibatkan Ketua Bahagian Bersatu iaitu Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin yang juga Setiausaha Bersatu Sabah (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail, Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Telok Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).

Antara yang dipecat (dari kiri) Azahari, Fathul Huzir dan Yunus.
Antara yang dipecat (dari kiri) Azahari, Fathul Huzir dan Yunus.

Menurut notis berasingan yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan pada Jumaat, pemecatan itu berkuasa kuasa serta-merta selepas pihaknya bersidang pada Khamis.

Katanya, Lembaga Disiplin memutuskan individu-individu terbabit telah melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Susulan itu, Lembaga Disiplin memutuskan supaya keahlian mereka dipecat di bawah Fasal 22.5, berkuat kuasa mulai tarikh notis dikeluarkan.

Notis tersebut turut menegaskan bahawa pemecatan berkenaan melibatkan penarikan semua hak keahlian parti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kesemua bekas ahli berkenaan masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Terdahulu, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang dipecat keahliannya berkuat kuasa pada Jumaat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.

Hamzah pada Khamis dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia.

Beliau berkata, Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu.

Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.

Hamzah turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.

Bersatu sebelum ini juga sudah mengambil tindakan pemecatan kepada ramai pemimpinnya yang terbabit dalam gerakan sama.

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 11 lagi pemimpin Bersatu dipecat kerana melanggar Perlembagaan Bersatu
  • Pemecatan berkuasa serta-merta setelah Lembaga Disiplin bersidang
  • Melibatkan pemimpin dari peringkat Ahli Parlimen hingga Ketua Bahagian
  • Keputusan pemecatan meliputi penghapusan semua hak keahlian parti
  • Bekas ahli diberi peluang rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!