Selangor peruntuk RM272.5 juta Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM272.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta khusus untuk menangani impak koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM127.8 juta diperuntukkan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa pertama.

Menurutnya, Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0 dirangka berdasarkan dua cabaran utama iaitu bagaimana menggempur wabak tersebut daripada terus merebak serta menangani cabaran ekonomi dihadapi semasa dan juga pasca pandemik.

“Salah satu inisiatif akan dilaksanakan adalah saringan Covid-19 atau ‘mass test’ di kawasan panas atau zon merah dikenal pasti di negeri ini melibatkan sasaran seramai 5,000 orang dengan kos berjumlah RM1.35 juta.

“Menerusi pakej ini juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.344 juta bagi memberi bantuan makanan percuma kepada doktor, jururawat dan petugas hospital di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberikan Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliner kepada 2,500 keluarga melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak melupakan peranan media dan akhbar yang bertungkus-lumus untuk menyampaikan fakta dan maklumat kepada rakyat.

“Untuk menghargai petugas media dan petugas keselamatan, sebanyak RM100,000 akan dibelanjakan untuk menyediakan makanan percuma kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak RM50,000 pula diperuntukkan kepada Task Force Covid Negeri Selangor yang aktif merangka tindakan untuk memerangi pandemik ini,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan membekalkan topeng muka, sanitizer dan sarung tangan kepada rakyat Selangor yang kesemuanya membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta.

Menurutnya, sebanyak RM3 juta pula akan diperuntukkan untuk operasi stesen kuarantin negeri Selangor yang menjadi penempatan ‘Person Under Surveillance’ bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah baik Skim Peduli Sihat menerusi perbelanjaan sebanyak RM42.5 juta bagi memberi manfaat kepada 85,000 penerima.

“Bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan di negeri ini, seramai 5,000 petani dan nelayan akan diberikan bantuan khusus Agroprenuer dengan jumlah peruntukan RM500,000,” katanya lagi.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Selangor Prihatin membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta.

Pemberian akan memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Skim Hijrah Selangor (Hijrah) dan rakyat.

Antara inisiatif yang diumumkan adalah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor, 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dikecualikan sewa sebulan serta diberi bantuan RM500.