Muniandy angkat sumpah jawatan Hakim Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy pada Ahad mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Muniandy, 64, mengangkat sumpah dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini.
Beliau mengangkat sumpah dihadapan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Muniandy yang berasal dari Negeri Sembilan mempunyai kelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang Universiti Malaya.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dari 1980 hingga 1984.
Sepanjang kerjaya, Muniandy pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Majistret, Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) di Jabatan Peguam Negara serta Pengarah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.
Beliau dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 2019, sebelum disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2022.
Beliau bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Jenayah 2) sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. - Bernama
Ringkasan AI
- Muniandy mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan
- Majlis pengangkatan sumpah berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya
- Presiden Mahkamah Rayuan menyaksikan pengangkatan sumpah
- Muniandy mempunyai kelulusan Sarjana Muda dan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Malaya
- Beliau memulakan kerjaya sebagai Peguam Persekutuan dan memegang pelbagai jawatan termasuk Majistret dan Pesuruhjaya Kehakiman sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
