Seorang suspek kes bunuh ibu tunggal positif dadah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan berkaitan kes kematian seorang wanita di sebuah flat di Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU), disahkan positif dadah jenis ketamin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 38 hingga 45 tahun itu berjaya diberkas dalam tempoh kurang tiga jam selepas pihak polis menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, susulan maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya menahan tiga suspek lelaki masing-masing di kawasan Bukit Mertajam dan Kubang Semang.

“Saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek disahkan positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pada 4 Februari, kira-kira jam 1.40 tengah hari, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Flat Sri Murni, Sungai Dua.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu van sekolah.

“Mangsa ditemui terbaring di dalam sebuah bilik tidur,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman tujuh hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh tersebut.

Difahamkan, warga asing itu ditahan pada jam 1 pagi Khamis, manakala dua suspek lain ditahan kurang daripada tiga jam selepas kejadian.

Ringkasan AI

  • Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan berkaitan kes kematian wanita di Seberang Perai Utara positif dadah jenis ketamin
  • Ketiga-tiga suspek berusia 38 hingga 45 tahun diberkas dalam tempoh kurang tiga jam selepas polis menerima laporan
  • Suspek-suspek ditahan di kawasan Bukit Mertajam dan Kubang Semang
  • Mangsa merupakan wanita berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu van sekolah
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!