Cemburu dipercayai punca ibu tunggal dibunuh - Polis

Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh itu melibatkan percintaan dan cemburu. Gambar kecil: Azizee
Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh itu melibatkan percintaan dan cemburu. Gambar kecil: Azizee
A
A
A

BUTTERWORTH - Siasatan awal polis mendapati wanita yang ditemukan mati akibat dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini, Rabu lepas dipercayai berpunca daripada cemburu. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan ke atas tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya dengan penahanan tiga lelaki itu kami dapat menyelesaikan kes tersebut, setakat ini tiada tangkapan atau suspek baharu yang dipercayai terlibat.

"Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh itu melibatkan percintaan dan cemburu tetapi saya tidak boleh ulas lanjut kerana siasatan masih diteruskan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, tiga lelaki yang ditahan berusia 38 hingga 45 tahun dan bekerja sendiri serta buruh itu, masih direman hingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.

Difahamkan, jiran memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada 1.40 tengah hari selepas mangsa yang juga ibu tunggal, tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya terbuka manakala pagar jeriji berkunci. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Wanita ditemukan mati dibunuh di rumahnya akibat cemburu
  • Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing untuk membantu siasatan
  • Tiga lelaki yang ditahan berusia antara 38 hingga 45 tahun
  • Kes bunuh itu dipercayai melibatkan percintaan
  • Mangsa adalah ibu tunggal berusia 41 tahun, bekerja sebagai pemandu van sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!