X

Kindly register in order to view this article
!

Rugi RM30,890 ditipu sindiket pinjaman tak wujud

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pemilik kedai perabot rugi RM30,890 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berasal dari Telok Ayer Tawar itu dikatakan mahu membuat pinjaman sebanyak RM200,000 selepas melihat iklan di Facebook.

Menurutnya, lelaki berkenaan meninggalkan maklumat peribadi pada iklan pinjaman wang yang disiarkan sebelum dia dihubungi ejen bank yang beralamat di Kuala Lumpur.

"Mangsa telah berkomunikasi dengan dua lelaki yang mendakwa ejen bank dengan menawarkan pinjaman peribadi pada jumlah yang besar.

"Bagaimanapun sebelum itu, mangsa diminta membuat bayaran insurans, bayaran ansuran dan bayaran untuk buka akaun bank," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya telah membuat tujuh transaksi dengan memasukkan wang ke tiga akaun bank yang diberikan ejen syarikat pinjaman wang dan kesemuanya berjumlah RM30,890.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas ejen berkenaan meminta tambahan wang dan dia kemudiannya tampil membuat laporan polis.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat pemilik akaun yang terbabit dalam kes itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,"katanya.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, seorang peniaga kerugian RM19,000 selepas terpedaya dengan panggilan palsu, semalam.

Mangsa yang berumur 31 tahun itu telah menerima panggilan telefon dari individu yang mengatakan daripada Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit.

Noorzainy berkata, panggilan berkenaan kemudiannya tersebut disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang memberitahu mangsa mempunyai kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Mangsa takut selepas dimaklumkan mengenai perkara itu walaupun dia tidak terlibat dengan kes berkenaan.

"Wanita berkenaan diminta membuat pindahan wang daripada akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM19,000 ke akaun bank miliknya sendiri namun tidak menyedari tipu muslihat sindiket berkenaan.

"Mangsa telah berikan nombor pengesahan transaksi (TAC) kepada mereka menyebabkan wang di dalam akaunnya lesap begitu sahaja," katanya.

Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila menyemak baki dalam akaun banknya berkurangan sebelum dia membuat laporan polis.

Noorzainy berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus