Pihak pendakwaan panggil 5 lagi saksi kes Papagomo-Syed Saddiq

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima lagi saksi pihak pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan blogger Papagomo yang menghadapi pertuduhan mengaib dan mencederakan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin semasa dihubungi berkata perbicaraan itu dijadual bersambung semalam tetapi ditangguhkan disebabkan penutupan mahkamah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan mulai 18 Mac sehingga 14 April untuk mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, bagaimanapun Mahkamah Majistret masih belum menetapkan tarikh baharu untuk sambung bicara.

“Mahkamah akan menjalankan pengurusan kes sebaik sahaja PKP berakhir dan tarikh baharu perbicaraan akan diberikan pada ketika itu,” kata Muhammad Hairuliqram.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq nafi buat laporan palsu terhadap Papagomo

Beliau juga berkata, pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi dan lima lagi saksi dijangka memberi keterangan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Syed Saddiq, 28, yang merupakan saksi ketiga telah selesai memberi keterangan pada 30 Januari.

Papagomo, 37, yang nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris diwakili peguam Logen Narayanan dan Nik Saiful Adli Burhan.

Artikel Berkaitan:

Exco Pemuda UMNO itu menghadapi pertuduhan mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut perkataan “Kau Bodoh” di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, di sini pada 11.05 pagi, 16 Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ketua Armada Bersatu itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama