Pengembara Singapura ke Malaysia rugi lebih RM74,500 akibat penipuan pancing data

SINGAPURA - Singapura melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes penipuan melibatkan penduduk negara itu yang melakukan perjalanan ke Malaysia, dengan mangsa mengalami kerugian kira-kira S$24,000 (RM74,592) selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya dihantar oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menurut media tempatan.
Mangsa menerima teks pesanan yang memaparkan nama pengirim 'LTA', meminta mereka menjelaskan bayaran tol yang tertunggak, bersama satu pautan yang mengarahkan mereka ke laman sesawang memancing data (phishing) untuk mendapatkan butiran perbankan bagi tujuan pembayaran, lapor Straits Times.
Menurut polis, ID LTA telah dinyahaktifkan pada Julai 2024 dan tidak lagi digunakan, dan sebarang teks pesanan daripada ID berkenaan adalah palsu.
Sementara itu, LTA dalam satu hantaran Facebook pada Selasa memberi amaran kepada orang ramai bahawa penipu menyamar sebagai agensi berkenaan untuk memperdaya mangsa supaya membayar tol yang tidak dijelaskan atau denda melalui pautan palsu.
"Mesej ini direka untuk mencuri butiran perbankan/kad kredit/kad debit serta wang anda.
"SMS rasmi LTA tidak mengandungi pautan pembayaran dan hanya dihantar melalui ID pengirim rasmi 'gov.sg'. ID pengirim LTA tidak lagi digunakan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Singapura melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes penipuan melibatkan penduduknya yang melakukan perjalanan ke Malaysia
- Mangsa mengalami kerugian kira-kira S$24,000 akibat menerima SMS palsu dari LTA
- Teori pesanan itu meminta pembayaran tol tertunggak melalui laman phishing untuk mendapatkan butiran perbankan
- ID LTA telah dinyahaktifkan pada Julai 2024 dan teks pesanan dari ID itu adalah palsu
- LTA memberi amaran melalui Facebook bahawa penipu menyamar sebagai mereka untuk mencuri butiran perbankan dan wang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
