Sembunyi dalam tandas pun gagal, 45 pekerja asing ditahan

Warga asing yang ditahan di sekitar Senai, Kulai pada Ahad. - Foto JIM Johor
Warga asing yang ditahan di sekitar Senai, Kulai pada Ahad. - Foto JIM Johor
A
A
A

KULAI – Cubaan beberapa pekerja kedai makan warga asing melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas gagal apabila mereka diberkas dalam serbuan di sebuah deretan rumah kedai di Senai pada Ahad.

Serbuan menerusi Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor bermula pada jam 1.05 pagi dengan penglibatan seramai 27 pegawai Bahagian Penguatkuasaan, menyaksikan seramai 45 warga asing ditahan.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan dipercayai bekerja secara haram di kedai-kedai makan sekitar kawasan berkenaan.

“Operasi ini dilaksanakan hasil risikan serta aduan awam berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Serbuan mengejut dilakukan ketika kesemua warga asing berkenaan sedang berehat di premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas, namun kesemua mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Antara warga asing ditahan dalam Ops Sapu selepas cuba melarikan diri dan bersembunyi di tandas ketika serbuan awal pagi - Foto JIM Johor
Antara warga asing ditahan dalam Ops Sapu selepas cuba melarikan diri dan bersembunyi di tandas ketika serbuan awal pagi - Foto JIM Johor

Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 25 lelaki warga Myanmar, empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan, masing-masing seorang lelaki warga India dan Nepal serta 11 wanita warga Myanmar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selain ada yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.

Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Cubaan pekerja kedai makan warga asing melarikan diri gagal dalam serbuan di Senai, Kulai
  • Serbuan Ops Sapu oleh JIM Johor menahan 45 warga asing
  • Individu ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan bekerja secara haram
  • Operasi berdasarkan risikan dan aduan awam tentang pendatang asing tanpa izin
  • Tahanan meliputi warga Myanmar, Bangladesh, Pakistan, India, dan Nepal, kebanyakannya gagal tunjuk dokumen sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!