[VIDEO] Palang rendah jejaskan laluan pengguna jalan raya

A
A
A

KULAI – Pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan Bandar Putra ke Lapangan Terbang Senai mengeluh apabila pembinaan palang setinggi hanya 2.1 meter didakwa menjejaskan laluan mereka.

Rungutan yang tular di laman Facebook Orang Kulai turut memaparkan sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan di bahagian belakang dipercayai terlanggar palang berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, palang berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu khususnya pemandu kenderaan berat.

Kenderaan yang rosak akibat terkena palang rendah di laluan tersebut.
Kenderaan yang rosak akibat terkena palang rendah di laluan tersebut.

Tidak hanya terpaksa membuat pusingan U pada jarak jauh, mereka juga berisiko berdepan kemalangan dan menjadi punca kesesakan lalu lintas.

Papan tanda larangan lori melebihi muatan 5 tan dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan laluan terbabit.
Papan tanda larangan lori melebihi muatan 5 tan dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan laluan terbabit.

Pada masa sama, terdapat papan tanda larangan lori melebihi muatan 5 tan dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan laluan terbabit dipasang berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Seorang pemandu lori, Mohd Redhuan Mat Desa, 52, berkata, palang yang baru dipasang itu menyusahkan pengguna jalan raya terutamanya pemandu kenderaan yang tinggi.

Katanya, ketinggian palang tersebut juga dilihat langsung tidak mengambil kira keperluan kenderaan logistik yang bergantung kepada laluan berkenaan.

Mohd Redhuan
Mohd Redhuan

“Kalau tanya saya, memang saya tak setuju langsung dengan palang ini. Benda ini betul-betul menyusahkan orang. Kalau nak buat pun, biarlah tinggi sikit supaya semua kenderaan boleh lalu.

“Jalan pun boleh jadi sesak bila ada lori yang terpaksa berpatah balik. Akibatnya penghantaran barang jadi lambat.

Ramai merungut selepas palang setinggi 2.1 meter dipasang di laluan Bandar Putra ke Lapangan Terbang Senai.
Ramai merungut selepas palang setinggi 2.1 meter dipasang di laluan Bandar Putra ke Lapangan Terbang Senai.

“Lagi pun lori atau treler yang bawa muatan 20 hingga 30 tan memang susah bila nak buat pusingan U dan perkara ini boleh meningkatkan lagi risiko kemalangan,” katanya.

Seorang lagi pemandu lori, R Dharmaraja, 46, turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap palang yang menghalang laluan yang biasa dilaluinya untuk ke kebun bagi kerja penghantaran sayur-sayuran kepada pelanggan.

Dharmaraja
Dharmaraja

"Saya terpaksa mengambil laluan yang lebih jauh, menyebabkan masa penghantaran bertambah dan penggunaan bahan api meningkat hingga memberi kesan langsung kepada operasi dan pendapatan.

“Lagi pun, tiada alasan kukuh palang dipasang di sini kerana ia memang laluan rutin bagi lori selain kenderaan seperti bomba, polis dan sebagainya.

“Jadi, cadangan saya, palang tersebut wajar dibuka semula demi memudahkan pengguna jalan raya dan melancarkan pergerakan logistik harian,” sarannya.

Sementara itu, seorang penduduk Bandar Putera, Misri Mupet, 63, berkata, penduduk juga hairan dengan pembinaan palang yang dilihat terlalu rendah dan tidak sesuai untuk dilalui lori kecil.

Misri
Misri

“Jalan dari Kulai menuju ke jalan luar tidak begitu luas menyebabkan pengguna tidak punya banyak pilihan laluan alternatif.

“Jadi, kalau palang itu dapat dinaikkan sikit, mungkin boleh bantu lancarkan lagi perjalanan. Tak payah lagi lori ini nak pusing jauh-jauh,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) ketika dihubungi berkata, perkara tersebut sudah pun dalam perhatian dan tindakan susulan akan dibuat dalam masa terdekat.

Ringkasan AI

  • Pengguna laluan Bandar Putra ke Lapangan Terbang Senai mengeluh pembinaan palang setinggi 2.1 meter mengganggu perjalanan
  • Kenderaan terutama treler berat mengalami kesukaran dan berisiko kemalangan akibat terpaksa membuat pusingan U jarak jauh
  • Palang tersebut tidak mempertimbangkan keperluan kenderaan logistik, menyebabkan kesesakan dan melambatkan penghantaran barang
  • Pemandu lori terpaksa mengambil laluan lebih jauh, meningkatkan masa penghantaran dan penggunaan bahan api
  • Majlis Perbandaran Kulai menyatakan sudah memperhatikan isu tersebut dan akan mengambil tindakan susulan kadar segera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!