ABIM cadang langkah penyelesaian, elak penguatkuasaan terpilih

SHAH ALAM - Beberapa langkah dicadangkan bagi memastikan penyelesaian isu rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah dapat dilaksanakan secara harmoni selaras dengan prinsip negara hukum.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya menyambut baik pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum dan semua pihak wajib menghormati undang-undang termasuk dalam isu rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah.
Menurutnya, ABIM berpandangan ketegasan tersebut penting bagi memulihkan disiplin pentadbiran, mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi serta menutup ruang manipulasi sentimen kaum dan agama yang semakin membimbangkan.
“Bagaimanapun, sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mestilah dilaksanakan secara adil, konsisten, berintegriti dan berhemah tanpa penguatkuasaan terpilih yang boleh mencetuskan ketegangan baharu.
“Justeru, ABIM mengusulkan beberapa langkah bagi memastikan penyelesaian yang sah serta harmoni, antaranya penguatkuasaan tegas terhadap binaan baharu yang jelas melanggar undang-undang dan dilaksanakan secara berperingkat serta berhemah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, ABIM turut mencadangkan pemutihan bersyarat bagi rumah ibadat lama yang terbina akibat kecuaian sistem, termasuk pendaftaran rasmi, pematuhan aspek keselamatan serta penyelesaian status tanah melalui proses yang telus dan sah.
Tambahnya, cadangan lain termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Ibadat di setiap negeri yang melibatkan PBT, pejabat tanah, agensi agama negeri serta wakil badan agama bukan Islam yang sah bagi memantau dan menyelesaikan isu sebelum ia menjadi krisis.
“Selain itu, keperluan rizab rumah ibadat pelbagai agama juga perlu diambil kira dalam pembangunan baharu supaya isu sama tidak berulang dan keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, ABIM menyeru semua pihak supaya menghentikan ucapan kebencian, penghinaan perkauman serta provokasi agama yang hanya meninggalkan parut mendalam dalam masyarakat.
Jelasnya, isu pematuhan undang-undang tidak wajar dijadikan medan untuk mengaibkan mana-mana komuniti.
“ABIM percaya Malaysia kekal kuat kerana kepelbagaian yang diurus secara adil, berperaturan dan beradab, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta semangat perpaduan nasional,” katanya.
Ringkasan AI
- ABIM menyokong pendirian Perdana Menteri Malaysia tentang pentingnya semua pihak menghormati undang-undang termasuk dalam isu rumah ibadat tidak sah
- Ketegasan diperlukan untuk memulihkan disiplin pentadbiran dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi
- Tindakan penguatkuasaan oleh PBT harus adil, konsisten, berintegriti dan berhemah untuk mengelak ketegangan
- ABIM mencadangkan langkah pemutihan bersyarat untuk rumah ibadat lama dan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Ibadat
- ABIM menyeru penghentian ucapan kebencian dan penghinaan, menegaskan kepelbagaian yang diurus dengan adil demi semangat perpaduan nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

