[VIDEO] Keputusan rayuan kes rasuah RM3 juta Isa Samad minggu depan
PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Keputusan rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ditetapkan pada 10 Februari.

Panel tiga hakim dipengerusi Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan selaku perayu dan pembelaan untuk Mohd Isa selaku responden.
“Panel hakim memerlukan masa untuk meneliti hujahan dan afidavit kes yang dimukakan, maka kami menetapkan keputusan kes pada Selasa minggu depan,” katanya.
Sebelum ini, pihak pendakwaan merayu kepada mahkamah supaya panel hakim mengembalikan semula sabitan bersalah dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu.
Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat dalam mensabitkan responden terhadap kesalahan berkenaan.
Beliau berkata, semasa perbicaraan, ada keterangan menunjukkan bekas Ahli Parlimen Jempol itu menerima RM3.09 juta dalam bentuk suapan daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.
Menurutnya, suapan itu merupakan ganjaran atas peranannya memudahkan kelulusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian hotel terbabit.
Beliau berkata, hanya tiga individu yang tahu mengenai kejadian meminta dan menerima rasuah tersebut iaitu Muhammad Zahid yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-21, Ikhwan (SP16) dan Mohd Isa sendiri.
“SP21 merupakan orang tengah yang meminta dan menyerahkan rasuah tersebut, dengan meletakkannya di atas meja di pejabat responden, tanpa kehadiran orang lain.
“Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat, tiada asas SP16 dan 21 itu memberi keterangan untuk melepaskan diri sendiri sehingga sanggup berkomplot untuk mengenakan Mohd Isa semata-mata mahu mengelak daripada turut didakwa di mahkamah.
Afzainizam berkata demikian ketika disoal panel hakim faktor kedua-dua saksi itu tidak dituduh atas kesalahan meminta suapan.
Katanya, panel hakim Mahkamah Rayuan gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap dapatan mahkamah lebih rendah, mengenai kredibiliti mereka dan arahan yang didakwa diberikan oleh Mohd Isa untuk mengutip wang berkenaan bagi pihaknya.
Beliau berkata, kesalahan menerima suapan sebanyak sembilan kali berjumlah RM3.09 juta secara berperingkat daripada SP16 melalui SP21, dibuktikan berlaku pada tarikh dan tempat dalam pertuduhan sebagai upah kepada responden yang telah membantu meluluskan pembelian MPHS bernilai RM160 juta.
Menurutnya, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, sudah memadai untuk membuktikan penerimaan suapan tanpa perlu menunjukkan bahawa perbuatan yang menjadi ganjaran itu benar-benar dilaksanakan.
“Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengusik dapatan fakta dibuat oleh hakim bicara Mahkamah Tinggi, berdasarkan keterangan saksi yang telah memberi keterangan di hadapannya.
“Hakim bicara mempunyai kelebihan audiovisual dalam menilai keterangan saksi-saksi tersebut berbanding hakim Mahkamah Rayuan yang tidak dapat melihat dan menilai tingkah laku saksi dalam memutuskan kredibiliti mereka.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengatasi keputusan Mahkamah Tinggi kerana sabitan terhadap responden secara keseluruhan kekal selamat,” katanya.
Sementara itu, peguam, M Athimulan berhujah, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang tepat kerana membebaskan anak guamnya daripada semua pertuduhan berkenaan.
Beliau berkata, Mahkamah Rayuan tidak melakukan kekhilafan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan untuk campur tangan dan mengubah keputusan tersebut.
“Rayuan pendakwaan tidak bermerit dan keputusan Mahkamah Rayuan wajar dikekalkan.
“Panel itu telah meneliti bahawa fakta berkaitan penerimaan wang, sebagai tidak kukuh,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan itu.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.
Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.
Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.
Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB ketika itu, Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Ringkasan AI
- Keputusan rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan ditetapkan pada 10 Februari
- Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara selama 54 tahun dan denda RM15.45 juta namun semua hukuman penjara berjalan serentak selama enam tahun
- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024
- Pendakwaan merayu Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Isa bersalah
- Mohd Isa didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

