Pemuda UMNO Johor minta AEON Credit laksana moratorium enam bulan

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pergerakan Pemuda UMNO Johor meminta AEON Credit melanjutkan tempoh penangguhan pembayaran balik pinjaman daripada sebulan seperti yang ditawarkan sebelum ini kepada enam bulan berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ini kerana mereka yang meminjam dengan institusi kewangan itu rata-ratanya merupakan golongan B40 dan M40, penduduk kampung dan golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Jadi, adalah wajar AEON Credit memberikan penangguhan enam bulan memandangkan ramai individu khususnya golongan muda yang mempunyai komitmen ansuran bulanan dengan institusi kewangan berlesen berkenaan.

"Hampir 90 peratus pemilik motosikal adalah daripada golongan B40 dan M40 yang membuat pinjaman dengan AEON Credit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor berharap pihak AEON Credit memandang serius perkara tersebut bagi meringankan beban pengguna dan PKS berikutan impak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi negara.

Katanya, walaupun peminjam AEON Credit berskala kecil tidak seperti institusi perbankan, mereka merupakan peniaga PKS yang bergantung dengan pendapatan harian dan situasi ketika ini menyebabkan mereka cukup terkesan sekali.

Johor, katanya, mempunyai 98,190 usahawan dan 75,603 di bawah definisi mikro iaitu mempunyai nilai jualan bawah RM300,000 serta mempunyai lima pekerja manakala 19,638 lagi berskala kecil iaitu jualan tahunan daripada RM300,000 hingga RM15 juta dengan lima hingga 75 pekerja.

Beliau memberitahu, terdapat 2,945 usahawan berskala sederhana dengan nilai jualan RM15 juta sehingga RM50 juta yang mempunyai 75 hingga 200 pekerja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Pemuda UMNO Johor berharap kerajaan dapat melaksanakan program pelindungan secara berperingkat-peringkat untuk usahawan dan peniaga PKS di seluruh negara dan di negeri ini yang terjejas.

"Disebabkan penularan Covid-19 dan PKP, rata-rata PKS kini terjejas kerana perlu membayar gaji pekerja, bil elektrik, faedah pinjaman bank, AEON Credit, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso, sewa kedai dan cukai perniagaan.

"Pergerakan Pemuda UMNO Johor percaya usahawan PKS tidak mempunyai masalah jika perlu duduk di rumah dalam tempoh PKP dilaksanakan, tetapi kerajaan perlu membantu dengan memastikan bebanan ditanggung usahawan PKS dapat dipotong ataupun dikurangkan," katanya.