Ultras Selangor dilarang masuk stadium bagi tiga perlawanan

Selangor FC menyeru semua penyokong terus menyokong kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati.
Selangor FC menyeru semua penyokong terus menyokong kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati.
A
A
A

SELANGOR FC memutuskan untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas Ultras Selangor susulan insiden membabitkan beberapa individu daripada kumpulan penyokong berkenaan sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC minggu lepas. 

Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan Ultras Selangor dilarang menghadiri tiga perlawanan dari 8 hingga 22 Februari, melibatkan dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dan perlawanan Liga Super bertemu Kuching City FC. 

Menurut kelab itu, individu-individu yang disabitkan kesalahan atas kes penyalahgunaan atau memiliki dadah pula dilarang memasuki stadium bagi mana-mana perlawanan melibatkan Selangor FC selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

"Selangor FC menjunjung kasih titah perintah dan cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Diraja Kelab serta nasihat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Pengerusi Selangor FC berkenaan insiden terbabit.

"Kelab tidak bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan orang awam,” menurut kenyataan itu. 

Selangor FC memaklumkan insiden terbabit diharap menjadi iktibar kepada Ultras Selangor dan kumpulan penyokong itu akan kembali ke stadium dengan semangat dan azam baharu serta menjadi teladan dalam memeriahkan suasana bola sepak tempatan.

"Selangor FC juga menyeru agar semua penyokong terus menyokong kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati untuk memelihara keselamatan awam, imej kelab dan masa depan bola sepak tempatan,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari. 

Sebagai Penaung Diraja Selangor FC, baginda turut tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Selangor FC mengenakan tindakan disiplin ke atas Ultras Selangor susulan insiden sebelum pertandingan dengan Terengganu FC
  • Ultras Selangor dilarang menghadiri tiga perlawanan termasuk dua pertandingan Piala Malaysia dan satu Liga Super
  • Individu yang disabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah dilarang memasuki stadium Selangor FC selama tiga tahun
  • Selangor FC mengikut nasihat Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor untuk menangani insiden tersebut
  • Kelab berharap insiden ini menjadi iktibar dan menyokong kelab secara bertanggungjawab serta menghormati keselamatan awam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!