[VIDEO] 21 penyokong Selangor FC direman positif dadah

KUALA TERENGGANU - Seramai 21 penyokong Selangor FC yang ditahan susulan perarakan tidak terkawal di sekitar bandar raya ini didapati positif dadah jenis THC termasuk tujuh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar sekolah menengah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua mereka antara 33 lelaki berusia antara 17 hingga 43 tahun yang ditahan kerana memiliki dadah, positif dadah serta mengganggu tugas penjawat awam.
Menurutnya, kejadian berlaku pada Ahad lalu selepas polis menerima aduan berhubung tindakan sekumpulan penyokong yang berarak secara tidak terkawal, menghalang laluan kenderaan awam serta membakar suar yang jelas membahayakan keselamatan dan melanggar undang-undang.
"Aduan dibuat seorang pembantu operasi drawbridge yang melihat kumpulan penyokong berarak dari hadapan Mayang Mall, melintasi jambatan sebelum bergerak ke Seberang Takir,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Isnin.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu melaksanakan penguatkuasaan di lokasi kejadian dengan mengiringi keseluruhan rombongan melibatkan 10 bas membawa 412 individu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh termasuk saringan awal air kencing ke atas semua pemandu dan penumpang bas dijalankan dengan bantuan IPK Terengganu, IPD Kuala Terengganu serta Unit 6 Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Wakaf Tapai.
"Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram yang dipercayai untuk kegunaan sendiri, melibatkan tiga kes dan tiga tangkapan," katanya.
Mohd Khairi berkata, 21 individu didapati positif dadah jenis THC ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Bagi kesalahan memiliki dadah mereka direman selama empat hari bermula Isnin dan bagi yang positif dadah tempoh reman selama tiga hari bermula hari sama.
"Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah 1983 sebelum diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya sembilan individu turut ditahan kerana memiliki suar dan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, sebanyak 70 batang suar pelbagai saiz dirampas, dengan 54 telah dibakar dan 16 belum dibakar.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai khususnya penyokong bola sepak dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang, menjaga disiplin serta menghormati keselelamatan awam.
"PDRM Kontinjen Terengganu tidak akan berkompromi dan akan terus bertindak tegas serta profesional terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekacauan atau membahayakan nyawa," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 21 penyokong Selangor FC ditahan dan didapati positif dadah jenis THC
- Penyokong tersebut termasuk tujuh pelajar IPT dan seorang pelajar sekolah menengah
- Perarakan tidak terkawal berlaku di Kuala Terengganu, menghalang laluan kenderaan dan membakar suar
- Sejumlah dadah disyaki ganja dan erimin 5 dirampas oleh polis
- Kesemua yang didapati positif dadah akan disiasat dan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
