Himpunan Anti Rumah Anutan Haram tetap diteruskan - Zamri Vinoth

SHAH ALAM – Himpunan Anti Rumah Anutan Haram berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur akan diteruskan seperti biasa pada malam Sabtu.
Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth berkata, himpunan tersebut tetap berlangsung seperti dirancang pada jam 8 malam di lokasi berkenaan.
Menurutnya, ia adalah himpunan aman bertujuan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang menentang jenayah ceroboh yang tiada kaitan dengan mana-mana kaum mahupun agama.
"Himpunan ini dijalankan selaras dengan peruntukan undang-undang tanpa melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada. Kami mengikut peruntukan undang-undang!
"Jenayah ceroboh wajib dibanteras oleh itu ayuh turun beramai-ramai jam 8pm di pekarangan Sogo KL," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis memberi peringatan pihak penganjur agar tidak membuat provokasi dan melontarkan kenyataan berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dalam himpunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, satu perjumpaan dengan pihak penganjur telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis.
Dalam hantaran terkini pada Sabtu, Zamri menegaskan ia adalah perhimpunan aman berkaitan kedaulatan undang-undang menentang jenayah ceroboh.
Justeru, beliau berharap pihaknya tidak dikaitkan dengan perkara tidak berkaitan.
Semengtara itu, sebanyak 141 badan bukan kerajaan (NGO) dijangka menyertai perhimpunan tersebut yang dijadualkan bermula jam 8 malam pada Sabtu.
Ia bertujuan memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dapat dikuatkuasakan.
Ringkasan AI
- Himpunan Anti Rumah Anutan Haram akan berlangsung di pekarangan Sogo KL pada malam Sabtu
- Dijalankan selaras dengan peruntukan undang-undang untuk menegakkan kedaulatan undang-undang menentang jenayah ceroboh
- Penyelaras himpunan, Zamri Vinoth, menegaskan ia adalah himpunan aman tanpa kaitan dengan mana-mana kaum atau agama
- Polis memberi peringatan kepada penganjur agar tidak membuat provokasi berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja
- Sebanyak 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut untuk memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dapat dikuatkuasakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

