Integriti negara tuntut kerjasama semua pihak, bukan bergerak secara 'silo'

KUALA LUMPUR – Usaha memulihkan integriti negara memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak dan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan atau bersifat ‘silo’.
Pakar Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merangkap Ahli Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dr Mazlan Ahmad berkata, perjuangan meningkatkan kedudukan CPI negara menuntut kesedaran bahawa semua pihak berada dalam satu hala tuju yang sama.
Menurutnya, sasaran mencapai kedudukan CPI ke-25 dunia menjelang 2033 diibaratkan seperti sebuah pelayaran besar yang memerlukan kerjasama semua kru bagi memastikan kapal sampai ke destinasi yang ditetapkan.
"Perjuangan ini tidak boleh dibuat secara berasingan, kita semua berada dalam kapal yang sama untuk berlayar mencapai nombor keramat 2533, iaitu kedudukan CPI ke-25 menjelang 2033.
"Kapal yang kita naiki ini penuh dengan pelbagai ragam dan cabaran, kita bukan berlayar di sungai cetek atau air yang tenang, sebaliknya di lautan luas dengan ombak yang ganas, bila-bila masa kapal boleh karam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Podcast Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi, pada Sabtu.
Mazlan turut memberi analogi mengenai risiko sikap mementingkan diri sendiri yang boleh menjejaskan usaha memerangi rasuah secara keseluruhan.
"Bayangkan ada orang di dek bawah mahu minum air. Disebabkan kejahilan, dia gerudi perut kapal untuk dapatkan air tanpa fikir kesan kepada semua orang dalam kapal.
"Dalam masa sama, orang di dek atas pula hanya menjaga jabatan sendiri dan tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku di bawah, akhirnya kapal itu akan karam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan masyarakat dan agensi kerajaan perlu meninggalkan mentaliti bekerja secara bersendirian dan sebaliknya mengamalkan budaya kerja berpasukan.
"Tidak boleh satu jabatan buat kerja sendiri, kalau semua orang hanya jaga bahagian masing-masing tanpa peduli perkara lain, kapal itu akan tenggelam.
"Sebab itu kita perlu sentiasa saling mengingatkan antara satu sama lain. Ini bukan sahaja tentang CPI, tetapi melibatkan keseluruhan aspek kehidupan dan tadbir urus negara,” katanya.
Beliau menambah, kesedaran kolektif dan komitmen bersama menjadi asas penting dalam memastikan usaha memperkukuh integriti negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

